Isnin, 3 April 2017

Piala Malaysia: Dua juara bertemu satu kumpulan



ARKIB : 11/08/2003
NAIB Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar (kanan) membuat undian sambil diperhatikan Setiausaha Agung FAM, Datuk Dell Akhbar Khan dalam majlis pengundian Piala Malaysia di Pulau Pinang, semalam.

DUA juara bertemu dalam satu kumpulan bagi membawa cabaran dalam saingan bola sepak Piala Malaysia selepas undian berlangsung di Pulau Pinang, semalam.

Juara Perdana Satu, Perak dan juara Perdana Dua, Public Bank Selangor diundi dalam Kumpulan D bersama-sama Johor FC dan Melaka.

Namun, Perak dijangka mampu untuk menangani asakan pencabarnya berda-sarkan kepada reputasinya selaku juara Perdana Satu yang diraih dua musim berturut-turut sejak tahun lalu.

Undian semalam menyaksikan, naib juara Perdana Dua, Kedah diundi dalam Kumpulan A untuk menghadapi tentangan Pahang, Kelantan dan pasukan dari Perdana Dua, Johor.

Kumpulan B pula menyaksikan Sarawak turut menghadapi cabaran sengit kerana diundi bersama juara Piala FA 2003, Negeri Sembilan, Perlis dan Telekom Melaka.

Selangor pula terpaksa bersaing dengan MPPJ Selangor, Sabah dan Pulau Pinang dalam Kumpulan C.

Pengundian semalam menyaksikan Kedah, Perlis, Pulau Pinang atau Sabah, Perak atau Public Bank menjadi pilihan dalam kumpulan masing-masing bagi saingan tersebut.

Dalam Kumpulan A, Kedah dijangka menghadapi cabaran sengit Pahang tetapi kemungkinan dapat mengatasinya selepas skuad Tok Gajah mengalami rombakan dalaman disebabkan jurulatihnya, Ralf Borges Fereira meletakkan jawatan secara mengejut baru-baru ini.

Perlis pula masih menjadi skuad pilihan dalam Kumpulan B walaupun terdapat saingan daripada Negeri Sembilan selaku juara Piala FA 2003 yang gagal mempamerkan aksi memberangsangkan sejak akhir-akhir ini.

Begitu juga dengan pasukan Sarawak dan Telekom Melaka yang seringkali mempamerkan aksi yang tidak konsisten.

Selangor yang diundi dalam Kumpulan C pula kali ini tidak dilihat sebagai pasukan yang boleh memberi cabaran sengit sebagaimana suatu ketika dahulu iaitu di zaman keghairahan Merah Kuning.

Setelah gagal untuk menepati sasaran meraih kejuaraan Piala FA atau kejuaraan liga, Selangor gagal menunjukkan tanda-tanda kebangkitannya, malah tidak layak untuk beraksi dalam Liga Super 2004.

Sudah pastinya tumpuan dalam Kumpulan C lebih kepada Pulau Pinang dan Sabah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dCNlmrXA
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan