ARKIB : 04/10/2003
MALAM ini, satu lagi perlawanan
akhir pertandingan bola sepak paling berprestij di negara ini, Piala Malaysia
dilangsungkan dan bakal menemukan dua pasukan, MPPJ Selangor dan Sabah.
Pertarungan malam ini juga adalah
penutup kempen pertandingan bola sepak tempatan bagi musim 2003 dengan pasukan
paling unggul akan menjulang Piala Malaysia edisi ke-36 itu.
Apa yang menarik, perhitungan
terakhir ini juga bakal mencipta satu lagi sejarah besar bola sepak negara
kerana buat kali pertama menemukan sebuah pasukan bertaraf kelab dengan skuad
negeri.
Mengimbas sejarah kejohanan itu,
ia dikenali sebagai Piala HMS Malaya bermula 1921 sebelum ditukar kepada Piala
Malaya pada awal tahun 50-an.
Kemudian sekali lagi ia mendapat
nama baru iaitu Piala Malaysia pada tahun 1967 dan kekal sehingga ke hari ini.
Piala HMS Malaya adalah hadiah
Kapten Buller bersama pegawai Tentera Laut Diraja Britain dan dari situlah era
bola sepak Tanah Melayu sehingga tercetusnya idea penubuhan Persatuan Bola
Sepak Malaya.
Perlawanan pertama menemukan
Singapura dengan pasukan dari Negeri-Negeri Selat dan menurut catatan sejarah,
pertandingan ini diperkenalkan di Perak dan Selangor.
Dari situlah, banyak kelab bola
sepak amatur ditubuhkan yang disertai masyarakat tempatan dan asing antaranya Kelab
Selangor, Kelab Sultan Sulaiman, United Chinese dan Tamil Union.
Sehingga tahun 20-an dan 30-an
barulah bola sepak dimainkan secara liga hampir di setiap bandar besar.
Dari situ juga lahirnya
pertandingan Piala HMS Malaya yang dipertandingkan setiap tahun di kalangan
negeri.
Pertandingan itu ditukar nama
kepada Piala Malaya yang menyaksikan penyertaan meluas daripada kalangan
peminat bola sepak Tanah Melayu.
Persatuan Bola Sepak Malaya
ditubuhkan pada 1926 dan ia terus berkembang dan membangun sehingga melahirkan
ramai pemain berbakat dan disertai oleh gabungan persatuan bola sepak negeri.
Sejak pertandingan diadakan,
format pertandingan berubah, pada awalnya ia diadakan mengikut peringkat zon
iaitu zon utara, selatan dan timur.
Pada 1980, format liga satu
pusingan dihentikan dan format liga untuk pertandingan awal dan lapan pasukan
teratas memasuki suku akhir diperkenalkan oleh persatuan itu yang sudah pun
dikenali sebagai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Era Semi-Pro mengambil alih pada
1989 yang dibahagi kepada dua divisyen sehinggalah format baru Liga Perdana
diperkenalkan pada musim 1995.
Sehingga dekad 90-an ini,
pembaharuan kepada arena bola sepak negara menyaksikan pemain import dibenarkan
bermain dalam liga bola sepak tempatan dan kebanyakannya menjadi tonggak
pasukan mengejar piala keagungan negara itu.
Selain itu, persatuan bola sepak
negeri juga dibenarkan mengambil jurulatih asing.
Perkembangan itu memberi kesan
positif kepada arena bola sepak negara terutama dari segi mutu dan corak
permainan yang lebih berkualiti dan profesional.
Setakat ini, hasil pembaharuan
menampakkan kesan membanggakan bagi beberapa negeri yang sebelum ini sentiasa
terkebelakang dalam sukan ini.
Malah langkah FAM membenarkan
pasukan bertaraf kelab bersaing dalam Piala Malaysia membuka lembaran baru
dalam sejarah pertandingan tersebut dengan pasukan seperti Johor FC, Public
Bank, Telekom Melaka dan MPPJ mula mengetuk pintu ke perlawanan akhir.
Akhirnya, MPPJ bernasib baik mara
hingga ke final dan berpeluang mencatat satu lagi sejarah jika mampu
menjinakkan Sabah malam ini.
Namun, apa pun keputusannya,
fakta sejarah bola sepak tanah air bakal ditambah lagi dan dengan pengenalan
Liga Super musim depan Piala Malaysia akan terus kekal sebagai piala yang
menjadi buruan semua pasukan di negara ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcMtGpxp
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan