ARKIB : 22/09/2003
Oleh Zainu'l Azhar Ash'ari
SAINGAN awal sudah berlalu namun
perjuangan yang menuntut kerja keras daripada empat pasukan masih perlu
diteruskan sebaik bermulanya baki perlawanan bola sepak separuh akhir Piala
Malaysi 2003 Sabtu ini.
Hanya tinggal satu saingan
separuh akhir sebelum dua pasukan terbaik beraksi dalam kemuncak perlawanan
bagi merebut piala paling berprestij di tanah air.
Walaupun keputusan pusingan
pertama separuh akhir sudah menjadi bahan ramalan pemerhati bola sepak,
pertarungan dalam pusingan kedua dijangka lebih perit, bukan sahaja untuk
pasukan yang ketinggalan tetapi buat pemenang unggul MPPJ.
Walaupun menang selesa 3-1 di
gelanggang sendiri, MPPJ pasti akan menghadapi tentangan lebih sengit di
Stadium Utama, Kangar kerana Perlis atau Singa Utara berjanji untuk bangkit
mencari tiga jaringan kerana tidak mahu lagi kempunan ke perlawanan akhir.
Pencapaian terbaik Perlis ialah
ke separuh akhir Piala Malaysia beberapa tahun lalu sebagaimana dilakukannya
musim ini dan sudah tentu kesempatan terbaik ini tidak akan dilepaskan begitu
sahaja.
Bagaimanapun, saingan kali ini
lebih getir kerana MPPJ sudah mempunyai kelebihan dua jaringan sebagai bekalan
ke utara.
MPPJ di bawah kendalian bekas
pemain kebangsaan, Dollah Salleh bukan lagi pasukan yang boleh dipandang remeh.
Kehadiran dua tonggak import,
penyerang Juan Manuel Arostegui dan pemain tengah yang lincah, Bruno Sebastian
Martelotto cukup membimbangkan Perlis.
Buktinya, dua daripada tiga
jaringan MPPJ dalam separuh akhir pertama adalah sumbangan kedua-dua pemain
import berkenaan.
Pastinya, Perlis tidak mahu
terperangkap lagi dengan muslihat kedua-dua pemain merbahaya itu, malah
jurulatih Norizan Bakar sudah tentu mengarahkan pemainnya merantai Arostegui
dan Martelloto
Di sebalik kelegaan MPPJ selaku
pasukan pelawat dalam separuh akhir kedua, Sabah akan berkunjung ke Stadium
Perak untuk menghadapi skuad Seladang tanpa kelebihan.
Persaingan agak terbuka luas
kerana keputusan seri 1-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu bakal menyajikan aksi
lebih bersemangat buat kedua-dua pasukan mencari kelebihan dalam separuh akhir
kedua.
Ramai beranggapan bahawa Perak
mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri tetapi Sabah bukannya
pasukan mudah untuk dihadapi.
Selain itu, Perak yang berstatus
juara Perdana Satu mempunyai barisan mantap di bahagian serangan iaitu
penyerang Frank Seator dan Baichung Bhutia.
Jika diukur pengalaman, pastinya
kedua-dua pasukan tidak kekok untuk beraksi di bawah tekanan kerana Perak dan
Sabah pernah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.
Pastinya, kedua-dua pasukan akan
dapat memberikan persembahan terbaik dalam usaha memburu impian ke perlawanan
akhir.
Di sebalik laluan yang masih luas
terbuka, hanya kesilapan boleh membawa padah dalam aksi separuh akhir Piala
Malaysia yang tetap menjadi tarikan utama peminat bola sepak tanah air.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0922&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dZkHZa00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan