Jumaat, 28 April 2017

MPPJ tempah laluan berliku

ARKIB : 19/09/2004
PENYANDANG juara, MPPJ Selangor berdepan laluan lebih sulit untuk menempah tempat ke suku akhir dari Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia selepas kecundang 3-2 kepada Pulau Pinang dalam aksi di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, semalam.
Kemenangan Pulau Pinang sekali gus mengesahkan mereka sebagai pasukan pertama melangkah ke suku akhir dan mengekalkan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan untuk mengumpul maksimum 12 mata.
Pasukan tuan rumah membuka jaringan menerusi Nordin Khamis pada penghujung babak pertama tetapi MPPJ menyamakan kedudukan hasil jaringan Fabricio Rene Francecschi pada minit ke-57.
Begitupun, dua jaringan pemain import, Viatchaslav Melnikov dalam tempoh tiga minit (60, 63) meletakkan Pulau Pinang selesa di depan sehingga Nor Hisham Ismail merapatkan jurang itu dengan gol kedua MPPJ minit ke-89.
Perak turut perit ke suku akhir selepas tewas tipis 1-0 kepada Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi hsail jaringan Effendy Malek pada minit ke-32.
Dalam perlawanan Kumpulan A, Kedah secara matematik sudah layak ke suku akhir dengn kemenangan 3-1 ke atas MK Land di Stadium Darulaman, Alor Star.
Gol-gol Kedah dijaringkan oleh Marcos Morales (12), Akmal Rizal Rakhli (72) dan Rafdi Rashid (89) dan gol MK Land dijaringkan oleh Marlon James (61).
Pahang turut mencatat kemenangan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, menebus kecewa tewas kepada Kedah minggu lalu dengan kemenangan besar 5-0 ke atas PKNS sekali gus menyingkir pasukan lawan itu dari Piala Malaysia.
Penyerang, Azizul Kamaluddin memulakan pesta jaringan pada minit ke-15 diikuti dua gol Jonathan Bass (35) dan Mamadou Diallo (37)Simon Colosimo (46) dan Mohd. Fadzli Saari (53).
Selangor kekal di tangga teratas Kumpulan C selepas mengikat Public Bank 1-1, terima kasih kepada jaringan penyamaan Mohd. Ermi Mat pada minit ke-90 selepas Gustavo Fuentes meletakkan Public Bank di depan minit ke-40.
Sarawak menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur untuk mengekori dua pasukan teratas itu.
Sabah melonjak ke tangga teratas Kumpulan D dengan tujuh mata selepas menang tipis 1-0 ke atas Telekom Melaka hasil jaringan Keith Gumbs minit keenam di Stadium Likas, Kota Kinabalu.
Pendahulu sebelumnya, Johor FC 2-1 tewas kepada Perlis di Stadium Utama, Kangar. Perlis melonjak ke tangga kedua dengan enam mata hasil kemenangan menerusi dua gol jaringan sendiri pemain Johor FC, Henry Saimpon (52) dan Rosli Md. Derus (63). Gol tunggal Johor FC dijaringkan Walter Silva (71).



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan