Jumaat, 28 April 2017

MPPJ: Rombakan untuk pertahan kejuaraan

ARKIB : 16/09/2004
MAJLIS Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor yakin perubahan yang berlaku dalam barisan pengurusan kelab bola sepak itu baru-baru ini akan membawa kesan positif terutama sekali dalam usaha mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu.
Presiden kelab itu, Datuk Termizi Puteh berkata, beliau percaya MPPJ mampu pergi lebih jauh dengan tenaga pengurusan pasukan ketika ini yang disifatkannya lebih mantap.
Beliau turut menolak tanggapan bahawa persembahan buruk dalam perlawanan awal Piala Malaysia berpunca daripada pertukaran kepimpinan yang berlaku.
``Memang kita kalah dalam dua perlawanan peringkat kumpulan dengan Pulau Pinang (2-3) dan Negeri Sembilan (0-2), tetapi itu adat dalam bola sepak, tak ada kena mengena dengan perubahan (pengurusan),'' ujarnya di Petaling Jaya, semalam.
Malah beliau meletak harapan tinggi mereka mampu mengulangi kejayaan lalu dan sedia melakukan kebangkitan selepas mencatat kemenangan 1-0 keatas Perak dalam Kumpulan B.
Juara Piala Malaysia 2003 itu mengalami perubahan kepimpinan apabila Termizi menggantikan Datuk Abdul Karim Munisar yang meletak jawatan sebagai Yang Dipertua MPPJ Julai lalu, selepas banyak berperanan dalam kejayaan kelab itu musim lalu.
Ini diikuti oleh pengurus sejak dua tahun lalu, Redzuan Sintol yang meninggalkan juara Liga Perdana 2004 itu baru-baru ini dan tempatnya digantikan oleh Aznan Hassan.
Perubahan bukan perkara baru dalam skuad yang dilatih oleh Dollah Salleh itu.
Pada awalnya kelab itu dibentuk oleh bekas YDP, Datuk Emran Kadir yang kemudiannya digantikan oleh Abdul Karim pada April 2003.
MPPJ mencipta sejarah menjadi kelab pertama memenangi Piala Malaysia tahun lalu selepas mengalahkan Sabah 3-0 dalam perlawanan akhir.
Menurut Termizi, mereka kini perlu mencatat kemenangan dalam semua baki perlawanan dan menganggap Pulau Pinang sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian selepas menunjukkan prestasi baik dalam Kumpulan B.
Ketika ini MPPJ mengumpul tiga mata daripada tiga perlawanan dan bakal bertandang ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang Sabtu ini untuk bertemu skuad Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih Yunus Alif.



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan