ARKIB : 03/10/2004
Pemain Public Bank Selangor, Rashid Mahmud (kiri) cuba membuat rembatan tetapi dihalang pemain Kedah, Cornelius Bernard Hugging dalam perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. Public Bank menang 2-0. - Gambar Abd Rahman Saleh.
|
PUBLIC Bank mungkin mengikut jejak pasukan juara bertahan bertaraf kelab yang telah tersingkir, MPPJ Selangor untuk menjulang Piala Malaysia selepas mengejutkan Kedah 2-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Dua gol yang dijaringkan oleh pemain import, Gustavo Fuentes pada minit ke-59 dan Milan Strelec minit ke-69 meletakkan Public Bank, naib juara Kumpulan C, dalam kedudukan agak selesa untuk ke separuh akhir.
Mereka akan bertarung sekali lagi untuk suku akhir kedua di Stadium Darulaman, Alor Star Rabu depan.
Di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah meraih bekalan tipis sebelum bertandang ke Pulau Pinang nanti selepas mengatasi juara Kumpulan B itu 1-0.
Gol tunggal perlawanan itu dijaringkan oleh Leosmar Nascimento pada minit ke-64.
Pulau Pinang bermain sepuluh orang pada baki kira-kira 15 minit permainan apabila pemain importnya, Viatcheslav Melnikov dilayangkan kad merah kerana mengasari Nascimento.
Pertarungan antara Pahang dengan juara 29 kali, Selangor di Stadium Darul Makmur, Kuantan pula berkesudahan seri 1-1.
Penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin menyelamatkan pasukan tuan rumah daripada tewas di gelanggang sendiri apabila menyamakan kedudukan tiga minit sebelum tamat permainan.
Darko Novacic mengejutkan pasukan tuan rumah dengan jaringan pembukaan minit ke-75.
Aksi di Stadium Shah Alam Rabu depan pasti menjanjikan perlawanan sengit antara kedua-dua pasukan.
Perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi turut sengit yang menyaksikan pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan menang tipis 3-2 ke atas Perlis.
Pemain kebangsaan, K. Rajan membuka jaringan perlawanan untuk tuan rumah pada minit ke-15 sebelum Mohd. Fairuz Izuan melebarkan jaringan sembilan minit kemudian.
Perlis bagaimanapun bangkit merapatkan kedudukan 10 minit kemudian menerusi jaringan Philimon Chipeta tetapi Negeri Sembilan yang muncul naib juara Kumpulan B menambah satu lagi gol hasil jaringan Norhafiz Zamani Misbah pada minit ke-64.
Perlis yang menjuarai Kumpulan D kembali mengurangkan jurang dengan gol kedua jaringan Mohamed Lamin Conteh Jr. tetapi skuad Rusa bertahan baik untuk mengekalkan kelebihan mereka sehingga tamat perlawanan.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan