ARKIB : 21/09/2003
Oleh A. JAILANI ABDULLAH
PEMAIN MPPJ, Juan Manuel
Arostegui (kiri) dihalang oleh pemain Perlis, Mohd. Feriza Ismail dalam
perlawanan separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Petaling
Jaya, semalam. MPPJ menang 3-1. - Gambar ASWAD YAHYA.
MPPJ Selangor semakin hampir
untuk mencipta sejarah baru bola sepak tempatan apabila menundukkan Perlis 3-1
dalam perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya
semalam.
Dua pemain dari Argentina - Juan
Manuel Arostegui dan Bruno Sebastian Martelotto masing-masing menyumbang satu
gol sementara Aiman Firdaus Tan Abdullah turut meletakkan namanya dalam senarai
penjaring MPPJ.
MPPJ jelas begitu bersemangat
beraksi di hadapan kira-kira 15,000 penyokong dan tidak menunggu lama untuk
menghukum pasukan pelawat.
Kesilapan pemain pertahanan
Perlis menjatuhkan Arostegui di luar kawasan gol membawa padah buat skuad Singa
Utara pada minit ke-17.
Arostegui mengambil sendiri
sepakan dan menyempurnakannya dengan rembatan ke penjuru kiri gawang Perlis
untuk menewaskan penjaga gol Mohd. Amran Omar.
Sebelum itu, MPPJ memperoleh
peluang pada minit ke-14 hanya untuk menyaksikan Mohd. Haris Safwan Kamal menyepak
lemah kepada penjaga gol selepas menerima umpanan cantik Aiman, hasil gerakan
pemain tengah Martelotto.
Hanya seminit kemudian,
Martelotto mengambil giliran menguji Amran apabila sepakan derasnya dari luar
kotak penalti tepat kepada penjaga gol itu.
Perlawanan kelihatan semakin
memihak kepada MPPJ apabila Aiman menyepak masuk gol kedua pada minit ke-35
selepas menerima hantaran lintang Kamarulzaman Yup Majid.
Ketinggalan 2-0 memaksa Perlis
bekerja keras untuk kembali bersaing tetapi dua pemain importnya Phillimon dan
Lamin Conteh Jr mengalami kesukaran untuk melepasi kawalan ketat pemain-pemain
tuan rumah.
Selepas menyaksikan tiga
percubaan mereka, masing-masing menerusi Mohd. Kaironnisam Sahabuddin, Rosle
Md. Derus dan Lamin sama ada tersasar atau ditepis keluar oleh Jamsari Sabian,
Perlis akhirnya merapatkan jurang gol menerusi penjaring terbanyak Perdana
Satu, Chipeta.
Penyerang dari Zambia itu
mengawal dengan baik bola di dalam kawasan gol dan menggelecek Yuzaiman Zahari
sebelum melepaskan rembatan kencang ke penjuru atas gawang, yang sama sekali
menewaskan Jamsari pada minit ke-41.
Perlis nyaris menyamakan
kedudukan menerusi serangan balas pada minit terakhir babak pertama tetapi
sepakan Khairun Haled Masrom dari hujung kawasan gol di tepis oleh Jamsari yang
terpaksa melayangkan badan.
Babak kedua semakin hangat dengan
kedua-dua pasukan saling mengasak untuk memaksa kedua-dua penjaga gol
mempersembahkan aksi terbaik untuk menyelamatkan gawang masing-masing.
MPPJ memperoleh peluang pada minit
ke-54 apabila Martelotto membuat larian solo ke dalam kawasan gol sebelum
mengumpan untuk Arostegui yang mensia-siakan peluang terbuka apabila sepakannya
tidak tepat mengenai bola.
Ketika perlawanan kelihatan akan
kekal dengan keputusan 2-1, Martelotto membuat larian pantas dan selepas
menggelecek dua pertahanan Perlis, melepaskan rembatan yang mengenai tiang gol
kanan sebelum meleret masuk pada minit ke-84.
MPPJ Selangor:
Jamsari Sabian; Mohd Haris Safwan
Md Kamal (Anuar Abu Bakar); Abdul Raof Ahmad; K. Nanthakumar (Norhisham
Ismail); Aiman Firdaus Tan Abdullah; Juan Manuel Arostegui; Bruno Sebastian
Martelotto; Kamarulzaman Yub Abd Majid; Khairil Zainal; Mohd. Zaidi Zaing;
Yuzaiman Zahari (Mior Mohd. Nasir Md. Yusof).
Perlis:
Mohd. Amran Omar; Wirat Nom;
Lamin Conteh Jr; Phillimon Chipeta; Rosle Md. Derus; Khairun Haled Masrom (Azi
Shahril); Suhairi Abdul Karim; Mohd. Feriza Ismail; Tengku Azman Raja Hasan;
Mohd. Nazaruddin M Zain; Muhamad Khaironnisam.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0921&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dZdpEWZm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan