ARKIB : 20/09/2003
Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
PEMAIN-PEMAIN Perak termasuk Syamsol
Saad (kiri), Indra Putra Mahayuddin (tidak berbaju) dan Yusri Che Lah (tiga
dari kiri) membuat latihan ringan di Stadium Perak, Ipoh menjelang pertemuan
dengan Sabah dalam separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Likas, Kota
Kinabalu hari ini.
SEBAGAIMANA tradisi, aksi bola
sepak Piala Malaysia kembali menghampiri kemuncak persaingan dengan empat
pasukan terbaik berentap sengit dalam peringkat separuh akhir untuk merintis
laluan ke perlawanan akhir musim 2003.
Pastinya, kegetiran yang bakal dilalui
oleh keempat-empat pasukan itu bermula pada malam ini apabila berlangsungnya
peringkat pertama separuh akhir.
Namun, pada musim ini terdapat
sedikit perbezaan apabila sebuah pasukan iaitu MPPJ mencipta sejarah dengan
menjadi pasukan bertaraf kelab yang pertama ke separuh akhir Piala Malaysia.
Tiga lagi pasukan yang ke separuh
akhir perlawanan paling berprestij di Malaysia itu ialah Perlis, Sabah dan
Perak.
Selain Perak yang bergelar juara
Perdana Satu, Perlis, Sabah dan MPPJ bukannya menjadi pilihan dibandingkan
skuad elit yang tersingkir secara mengejut.
Jika pada awal penglibatannya,
tidak ada peminat yang menaruh harapan tinggi kepada MPPJ berdasarkan status
dan barisan pemain kelab berkenaan kurang dikenali dibandingkan tonggak pasukan
lain termasuk beberapa bintang yang pernah berguru di luar negara, kejayaannya
ke separuh akhir kini menarik perhatian.
Dibimbing bekas pemain
kebangsaan, Dollah Salleh, MPPJ pastinya mahu melakar sejarah lagi untuk
menjadi pasukan bertaraf kelab yang pertama melangkah ke perlawanan akhir.
Dengan bersandarkan harapan
kepada pemain berpengalaman yang agak terhad seperti bekas tonggak skuad
Olimpik, Jamsari Sabian, Khairil Zainal, Yuzaiman Zahari dan pemain veteran,
Anuar Abu Bakar, MPPJ mahu mencari kemenangan awal di gelanggang sendiri dengan
bantuan pemain import sensasi, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto.
Bagaimanapun, Perlis turut
mempunyai impian serupa untuk melakar sejarah ke perlawanan akhir selepas hanya
mampu melakukan pencapaian terbaik hanya di peringkat separuh akhir beberapa
musim lalu.
Dilihat kepada barisan pemainnya
musim ini, Perlis yang dibimbing oleh bekas penolong jurulatih skuad Olimpik
dan kebangsaan, Norizan Bakar mampu melakukan kejutan.
Selain pengetahuan mendalam
Norizan yang mampu mencongak strategi berkesan, barisan pemain Perlis cukup
berpengalaman. Antaranya ialah pemain kebangsaan, Tengku Hazman Raja Hassan,
Khaironisam Shahabudin dan Hairun Khaled Masrom di tambah bantuan pemenang
kasut emas, Phillimon Chipeta.
Dalam satu lagi saingan, Sabah
menanti kunjungan Perak di Stadium Likas, yang semestinya perlawanan paling
menarik untuk ditonton peminat bola sepak tanah air.
Malah, status Perak selaku juara
Perdana Satu dua musim berturut-turut sejak tahun lalu membuka mata banyak
pihak untuk menjadi pasukan cukup bergaya selepas kejatuhan gergasi bola sepak
Selangor.
Sekiranya dahulu, Selangor gah
dengan sorakan merah kuning tetapi kali ini, Perak dikatakan memiliki
segala-galanya daripada kelab penyokong yang cukup aktif dan memiliki pemain
cukup konsisten.
Paling terbaru, Perak mempunyai
pemain import terbarunya, Baichung Bhutia yang sudah membuktikan ketajamannya
menghasilkan gol di samping penyerang sedia ada Frank Seator.
Perak selaku pasukan pilihan
selepas kejayaannya muncul sebagai juara Liga Perdana Satu 2003 dan barisan
pemain handalannya. Berdasarkan status pasukan atau ramalan, mungkin mudah buat
Perak tetapi hakikat sebenar bagi menghadapi Sabah cukup berat untuk diharungi.
Walaupun mempunyai ramai pemain
agak berusia seperti penjaga gol, Khairul Azman Mohamad, K. Sanbagamaran dan
Jelius Ating, Sabah sudah membuktikan keupayaannya mengatasi pasukan handalan
tanah air termasuk naib juara Perdana Satu, Kedah dalam suku akhir.
Dibantu penyerang Keith Gumbs,
Sabah sudah tentu tidak akan menoleh ke belakang lagi setelah berada dalam
saingan separuh akhir.
Inilah kesempatan terbaik untuk
merintis laluan ke akhir, sekali gus merealisasikan impian untuk melakar
sejarah bergelar juara setelah dua kali kempunan.
Kali terakhir Sabah kecewa
menjulang Piala Malaysia ialah musim lalu apabila tewas kepada Selangor tetapi
hajat itu boleh dipenuhi jika mampu mengalahkan Perak bermula malam ini.
Faktor tersebut tentunya
menjadikan Sabah tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya bermain bermati-matian
kerana lawan dihadapi bukannya pasukan belasahan.
Itulah keistimewaan saingan dalam
kempen bola sepak Piala Malaysia. Semakin hampir ke penghujung saingan,
bertambah ranjau yang bakal dilalui.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0920&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dZStnfYW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan