ARKIB : 09/09/2003
Oleh JOHARI SHAWAL
BIARPUN aksi bola sepak Piala
Malaysia baru memasuki peringkat suku akhir, sudah ramai yang memberi ramalan
tentang siapa yang bakal muncul juara baru Piala Malaysia musim ini sesudah
penyandangnya, Selangor tumbang lebih awal.
Sembang peminat di merata tempat
meletakkan Perak di ranking teratas untuk merangkul gelaran paling berprestij
itu, diikuti Pahang, Kedah dan Sabah.
Perak menjadi pilihan selepas
menjulang kejuaraan liga musim ini untuk mencatat kejayaan kali kedua
berturut-turut. Skuad bimbingan jurulatih dari Brazil, Toni Netto itu memang
nampak konsisten musim ini.
Begitupun, darjah keperitan pada
peringkat suku akhir lebih tinggi. Peminat boleh memberi apa jua pandangan
tetapi keputusan perlawanan terletak kepada barisan pasukan itu sendiri.
Peringkat suku akhir menuntut
semua pasukan lebih berkomitmen dengan kesungguhan yang berlipat kali ganda.
Pertemuan Perak dengan Sarawak di
Ipoh malam esok bakal menghangatkan lagi pertembungan peringkat suku akhir.
Selaku juara Piala Malaysia tujuh
kali, Perak memang menjadi pilihan di peringkat ini tetapi Bujang Senang tidak
akan hanya `bersantai di bibir pantai'.
Hajat membaham Seladang sudah
begitu lama dipendam dan Sarawak harus mahu buktikan skuad pilihan di pentas
Piala Malaysia tidak semestinya menepati ramalan.
Ramles Sari, Ramos Sari dan
Robert Eshun menjadi sandaran utama Jalil Ramli yang sudah bersedia dengan
resepi adunannya untuk berdepan barisan licik Netto yang memiliki kehandalan
Frank Seator dan Baichung Bhutia.
Juara dua kali, Pahang turut
menjadi pilihan tetapi perlu diingat, lawannya di suku akhir adalah barisan
bersemangat tinggi, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ).
Skuad MPPJ kendalian bekas pemain
kebangsaan, Dolah Salleh memiliki dua pemain import berbahaya, Juan Manuel Arostegui
dan Bruno Sebastian Matelotto selain anak tempatan, Annuar Abu Bakar yang
berbisa musim ini.
Yunus Aliff pula sebenarnya tidak
punya senjata hebat kecuali barisan anak jati berpengalaman, Azizul Kamaluddin,
Hairuddin Omar dan Fadzli Shaari selain tenaga import yang kurang menyerlah,
Helton Soares.
Dalam pada itu juara dua kali,
Kedah semakin menunjukkan kematangan musim ini sesudah tenggelam agak lama di
pentas ini.
Namun, Kedah tidak sunyi daripada
berdepan halangan besar dan kali ini Kenari terpaksa melepasi barisan gagah
Sabah untuk ke separuh akhir.
Kali terakhir Kedah mengecap
kejuaraan Piala Malaysia ialah pada 1993, menewaskan Singapura 2-0 pada
perlawanan akhir di Stadium Merdeka.
Bersandarkan kepada penyerang
kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli, pasukan Jorgen E. Larsen amat berharap mampu
menembusi benteng kebal barisan Justin Ganai yang mahu mengulangi pencapaian
musim lalu ke perlawanan akhir.
Mungkin Perlis sedikit lega
tetapi tidak harus memandang rendah keupayaan pasukan kelab, Public Bank kerana
barisan E. Evalarasan lebih berbahaya daripada pasukan negeri.
Lamin Conteh Junior dan Philimon
Chipeta pasti ditugaskan Norizan Bakar untuk menggempur kubu Public Bank selain
barisan pertahanan mengekang kehandalan Ivan Ziga dan Milan Strelec.
Apa sekali pun tanggapan dan
ramalan peminat, pentas Piala Malaysia nyata seringkali berbeza.
Pasukan pilihan boleh tumbang di
tangan pasukan kerdil dan skuad yang dilihat begitu konsisten semasa liga boleh
ranap sekelip mata apabila sampai di pentas berprestij ini. Semua perlu
berhati-hati.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dU2dJe61
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan