ARKIB : 18/09/2004
MISI mesti menang penyandang juara, MPPJ bagi mengintai tempat ke suku akhir meneruskan kerancakan bola sepak Piala Malaysia malam ini.
MPPJ kendalian jurulatih, Dollah Salleh berada dalam kedudukan tidak selesa ketika ini, di tangga ketiga Kumpulan B berkongsi tiga mata dengan Perak dan Negeri Sembilan.
Dengan baki tiga daripada enam perlawanan kumpulan, aksi keempat malam ini perlu diakhiri MPPJ dengan kemenangan untuk meletakkan pasukan lebih selesa.
Namun ia satu tugas sukar bagi MPPJ apabila terpaksa berdepan pendahulu kumpulan, Pulau Pinang yang belum tewas dalam kempen peringkat kumpulan ini.
Selesa di atas dengan maksimum sembilan mata, rekod tanpa kalah skuad Harimau Kumbang pasti akan terus dipertahankan.
Justeru, Dollah perlu mencatur strategi terbaik mempertaruhkan barisan pemainnya untuk mencatat kemenangan atau sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata.
Tambah menarik malam ini, pertembungan Negeri Sembilan dan Perak di Paroi pasti meledak hebat.
Dua pasukan ini juga mahu berada di tangga kedua kumpulan di belakang Pulau Pinang untuk merebut tempat ke suku akhir.
Juara dua kali, Pahang harus tidak mahu mengulangi kesilapan minggu lalu. Sesudah gagal ke akhir Piala FA, inilah satu lagi peluang buat Tok Gajah untuk merangkul satu lagi trofi idaman musim ini.
Peluang barisan Zainal Abidin Hassan untuk menggondol tiga piala sudah berakhir tetapi dua piala masih dalam bayangan.
Maka kemenangan ke atas satu lagi pasukan kelab, PKNS adalah perlu bagi juara Liga Super ini.
Cuma kesempatan bermain di gelanggang sendiri perlu digunakan sebaik-baiknya untuk mencuri tiga mata dari PKNS, yang belum mendapat sebarang mata.
Satu lagi perlawanan sengit tentulah antara dua pasukan teratas Kumpulan C, juara 29 kali, Selangor dan Public Bank di Shah Alam.
Kedua-dua pasukan berkongsi enam mata selepas tiga perlawanan. Selangor tentu mahu mencatat kemenangan untuk meletakkan diri pada kedudukan lebih selesa, selain menjaga maruah sebagai pasukan negeri.
Dua pasukan bawah, Kuala Lumpur dan Sarawak turut terikat tiga mata dan aksi di Cheras juga harus sama hebat.
Persaingan Kumpulan D pula menyaksikan peluang keempat-empat pasukan masih terbuka.
Johor FC hanya dipisahkan dua mata dengan pasukan tangga keempat, Perlis yang mengumpul tiga mata.
Amat sukar diramal dua pasukan mana yang akan mara ke suku akhir tetapi Johor FC berdepan saat getir untuk mempertahankan kedudukan tangga teratas apabila turun menentang Perlis di laman lawan.
Sabah pula melayan Telekom Melaka di Likas.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan