ARKIB : 30/09/2004
KEJUTAN terus menghiasi saingan bola sepak Piala Malaysia apabila penyandang juara, MPPJ Selangor, pasukan pilihan Perak dan Sarawak masing-masing gagal ke suku akhir selepas berakhir perlawanan peringkat kumpulan, semalam.
MPPJ Selangor gagal mempertahankan kejuaraan bola sepak Piala Malaysia apabila kalah 3-0 kepada Perak di Stadium TLDM, Lumut semalam sekali gus menduduki tangga tercorot dalam Kumpulan B.
Malangnya Perak ibarat menang sorak kampung tergadai walaupun Khalid Jamlus menghasilkan hatrik pada minit ke-25, 40 dan 64 kerana Negeri Sembilan menang 2-0 ke atas Pulau Pinang di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pemain pertahanan negara, Norhafiz Zamani Misbah menjaringkan gol pertama Negeri Sembilan pada minit ke-24 dan Effendi Malek menambah gol kedua pada minit ke-55.
Pulau Pinang yang layak lebih awal akan bertemu naib juara Kumpulan D, Sabah manakala Negeri Sembilan menentang Perlis.
Di Stadium Utama, Kangar, Perlis layak selepas menundukkan Sabah 2-0 dalam kumpulan D.
Yusri Che Lah menjaringkan gol pertama Perlis hasil sepakan bebas cantik pada minit ke-56.
Ketika permainan berbaki lima minit, Chipeta menambah gol kedua untuk Perlis mengambil alih tangga teratas Kumpulan B manakala Sabah di tangga kedua berdasarkan perbezaan gol.
Telekom Melaka pula menundukkan Johor FC 4-3. Kedah menjuarai Kumpulan A setelah menang besar 5-1 ke atas Pahang di Stadium Darul Aman, Alor Star.
Akmal Rizal Ahmad Rakhli memulakan aksi kemenangan bergaya Kedah apabila menjaringkan gol pada minit kesembilan diikuti oleh jaringan Hasmawi Hassan (17), Marcos Magno (45, 87) dan Rafdi Rashid (84) manakala Pahang memperoleh gol sagu hati hasil percubaan Mohd. Fauzan Abdullah (8).
Kedah akan bertemu Public Bank pada suku akhir manakala Pahang menempah pertemuan dengan Selangor.
Selangor dan Public Bank mara dari Kumpulan C setelah menang ke atas lawan masing-masing. Selangor menundukkan Kuala Lumpur 3-1 di Stadium Shah Alam untuk mengumpul 10 mata berada di tangga teratas berdasarkan kelebihan jumlah gol.
Public Bank mengecewakan pendahulu kedudukan sebelum ini, Sarawak 5-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan