Sabtu, 25 Mac 2017

Percaturan di bumi nyata



ARKIB : 02/11/2002
DUA jurulatih yang menjadi tulang belakang pasukan masing-masing, Ken Worden (kiri) dan Justin Ganai sempat bermesra semalam menjelang pertemuan Selangor dan Sabah dalam perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Oleh Johari Shawal
BABAK memburu penghormatan tertinggi pada pentas bola sepak Piala Malaysia musim ini bakal berakhir dengan dua pasukan, Selangor dan Sabah mengerah segala kudrat untuk menentukan siapa yang terbaik pada aksi akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.

Juara terbanyak Piala Malaysia, Selangor yang menjulang trofi kebanggaan ini sebanyak 28 kali, bertemu pasukan yang tidak pernah memahat nama selaku juara, Sabah dan perlawanan akhir ini dianggap barisan berpengalaman menentang barisan muda.

Menariknya, dua pasukan ini pernah bertemu dalam final Piala Malaysia pada 1996 dan pertarungan antara dua pasukan itu malam ini ibarat ulangan perlawanan berkenaan.

Atas pengalaman yang dimiliki, skuad Gergasi Merah merangkul mahkota Piala Malaysia buat kali ke-27, ketika di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Ken Worden.

Sabah yang ketika itu membuat penampilan sulung di pentas akhir Piala Malaysia, terpaksa menunggu lagi.

Tetapi kali ini, biarpun dilabel sebagai pasukan bukan pilihan, Sabah tidak mahu memori pahit 1996 berulang.

``Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan,'' kata ketua pasukan Sabah, Shahril Arsat.

Sabah sememangnya tidak langsung menjadi pilihan pada peringkat separuh akhir apabila terpaksa melepasi naib juara musim lalu, Perak.

Bagaimanapun, barisan yang dikendali jurulatih, Justin Ganai tidak gentar dengan reputasi yang dimiliki Perak dan berjaya mengatasi ramalan.

Kini, halangan terakhir mereka cuma Selangor yang ketika ini memiliki reputasi lebih tinggi daripada Perak.

Menariknya, Selangor masih dikemudi oleh Worden, yang melatih Sabah sehingga pertengahan musim ini sebelum jurulatih dari Australia itu dipecat oleh pengurusan skuad Badak.

Justeru, pertemuan Sabah dengan Selangor malam ini sebenarnya dikuasai oleh seorang jurulatih dan bolehlah dikatakan, Piala Malaysia musim ini sebenarnya telah dijulang oleh Worden.

Penampilan kali kedua Sabah di pentas ini sememangnya baru tetapi barisan pemainnya berpengalaman walaupun tidak di pentas Piala Malaysia.

Sabah memiliki Shahril yang telah menjulang Piala Malaysia tiga kali ketika bersama Selangor pada 1995-1997, penjaga gol berpengalaman, Khairul Azman Mohamad, bekas penyerang kebangsaan, Suharmin Yusuf dan penyerang semakin berbisa, Zainizam Marjan.

Namun, jentera Selangor nampak lebih berbisa dengan gandingan Azman Adnan dan pemain Liberia, Mass Sarr Jr. selain barisan pertahanan berpengalaman yang dikemudi B. Rajinikandh dan penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz.

Apa pun atas kertas, Selangor menjadi pilihan tetapi Sabah khabarnya membawa `hadiah istimewa' untuk penyokong-penyokong Merah Kuning yang pasti menjadikan pertarungan malam ini tidak sabar dinantikan oleh kedua-dua pasukan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOZy98wf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan