ARKIB : 26/09/2001
PEMAIN Sarawak, Zulkarnain
Mohd. Poasa (tengah) cuba melepasi penjaga gol Pahang, Mudzar Mohamad (kanan)
sambil dikejar Azaruddin Aziz dalam aksi bola sepak Piala Malaysia di Stadium
Sarawak, Kuching, semalam. Kedua-dua pasukan seri 1-1. - Gambar ZULAZHAR SHEBLEE.
DUA pasukan kelab, NS Chempaka
dan Johor FC melakar kejutan tetapi berita gembira buat Perak dan Pulau Pinang
yang berpesta gol di gelanggang sendiri dalam aksi bola sepak Piala Malaysia,
semalam.
NS Chempaka kali ini mengaibkan
Kelantan dengan kemenangan 1-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi semalam
untuk muncul pendahulu Kumpulan B.
Selepas mengejutkan Sarawak 4-0
di Kuching Sabtu lalu, NS Chempaka jelas memperlihatkan kegagahannya walaupun
jaringan tunggal hadir pada minit ke-73 menerusi R. Sekar yang merembat kencang
dari jarak dekat bola hantaran tinggi Saifulizam Hasim.
Johor FC pula melakar
kemenangan 2-0 ke atas Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Cheras menerusi jaringan
Hairy Azly Mahamad minit ketiga dan Idris Karim minit ke-26. Namun, kemenangan
itu tidak mengubah kedudukan Johor FC di tempat ketiga Kumpulan A.
Di Stadium Perak, Ipoh, pasukan
tuan rumah yang juga juara bertahan berkenduri gol dengan membelasah JKR
Kelantan 6-0.
Khalid Jamlus mencipta hatrik
menerusi jaringan minit ke-29, 37, 67 manakala satu gol masing-masing
disumbangkan oleh Indra Putra Mahayuddin (12), Liew Kit Kong (73) dan Norizam
Ali Hassan (80).
Juara liga, Pulau Pinang turut
berpesta dengan membenam Sabah 5-0 di Stadium Batu Kawan.
Gol Pulau Pinang dijaringkan
oleh Sutesh Sankaran Nair (33), Zailani Jaafar (41, 61), Mohd. Aiman Wong (51),
Mohd. Nor Derus (90).
Selangor merampas kedudukan
pendahulu Kumpulan A apabila menang selesa 3-1 ke atas Negeri Sembilan di
Stadium Petaling Jaya.
Penyerang kebangsaan, Mohd.
Nizaruddin menyumbat masuk dua gol pada minit ke-44 (penalti) dan 75 manakala
Tengku Hazman Raja Hassan menambah gol ketiga Red Giants minit ke-83.
Effendi Malek menjaringkan gol
tunggal Negeri Sembilan pada minit ke-57.
Dalam aksi di Stadium Sarawak,
jaringan Mohd. Ali Sapiee pada minit terakhir menyelamatkan pasukan tuan rumah
daripada tewas di gelanggang sendiri untuk mengikat pasukan pelawat, Pahang
1-1.
Pahang membuka jaringan pada
minit ke-61 menerusi Ahmad Shahruddin Rosdi.
Di Stadium Utama, Kangar,
Perlis dan JKR Kedah berkongsi satu mata apabila perlawanan berkesudahan seri
tanpa jaringan.
Terengganu terus mengungguli
Kumpulan D apabila mengumpul sembilan mata maksimum selepas menewaskan TNB
Kelantan 3-1 di Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.
Gol-gol Terengganu dijaringkan
oleh Hairuddin Omar (21), Sapian Wahid (48) dan Rosdi Talib (87) manakala gol
tunggal TNB dihasilkan Rosli Ismail (59).
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0926&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bkhy8WE1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan