Selasa, 4 April 2017

Saingan Piala Malaysia bermula



ARKIB : 20/08/2003
Oleh Haradian Shah Hamdan 
TIRAI saingan merebut Piala Malaysia-kejuaraan yang diiktiraf paling berprestij dalam kancah bola sepak tempatan, dilabuhkan malam ini dengan 16 pasukan memasang impian untuk mengutip mata penuh dan mengintai tempat ke suku akhir.

Tumpuan pastinya kepada dua finalis musim lalu, Selangor dan Sabah yang diundi di dalam Kumpulan C bersama Pulau Pinang dan pasukan kelab, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) Selangor.

Jurulatih Red Giants, Ken Worden pastinya mahu anak-anak buahnya mengulangi aksi cemerlang dalam dua perlawanan persahabatan di Brisbane, Australia baru-baru ini untuk `mencuci arang' selepas kempunan beraksi di Liga Super musim depan.

Bagaimanapun lawan senegeri, MPPJ tidak akan memberi laluan mudah dan dengan khidmat dua awang import Argentina, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Martelotto, mereka mahu sekurang-kurangnya mengulangi kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA musim ini.

Bagi Sabah pula, kekecewaan musim lalu tentunya belum dapat dilupakan dan mereka berazam mengutip mata penuh ketika bertemu Pulau Pinang di gelanggang sendiri.

Namun skuad Pulau Mutiara bimbingan Irfan Bakti yang agak kurang menyengat dalam Liga Malaysia kali ini tidak boleh diperkecilkan kerana memiliki pemain-pemain yang berpengalaman.

Kumpulan D turut menyimpan cerita tersendiri dengan juara Perdana Satu dan Dua, Perak dan Public Bank berada di kelompok yang sama dan dijangka tidak berdepan masalah untuk mara ke suku akhir.

Bertandang ke tempat lawan untuk berdepan Johor FC, anak buah Toni Netto diramal dapat memanfaatkan kekecewaan lawan yang baru sahaja kempunan peluang ke Liga Super selepas dikecewakan Public Bank dalam saingan playoff.

Bagaimanapun skuad Seladang itu tidak dapat menggunakan penyerang import India, Bhutia Baichung kerana dia tidak dilepaskan oleh kelabnya, East Bengal.

Public Bank, kelab yang paling menyerlah musim ini hasil gandingan pemain-pemain `buangan' mahu membuktikan mereka tidak harus dipandang rendah dalam perlawanan pertama dengan Melaka di tempat sendiri.

Melihat persembahan dan semangat skuad bimbingan E. Elavarasan ketika ini, mereka dilihat tidak akan berdepan ranjau untuk mengatasi skuad Kancil itu.

Persaingan dalam Kumpulan A tidak kurang menariknya apabila dua pasukan pantai timur, Pahang dan Kelantan akan menyingsing lengan di Stadium Darul Makmur.

Selepas aksi mengecewakan dalam Perdana Satu, Pahang yang dianggap favorite di awal musim apabila mendapat khidmat beberapa pemain kebangsaan, terdesak untuk menjulang piala itu sejak kali terakhir melakukannya pada 1982.

Kedah yang umpama harimau luka selepas terlepas kejuaraan Perdana Satu, dijangka membedil habis-habisan kubu Johor di Stadium Darul Aman, malam ini.

Anak buah Karl Weigang, perlu mengelak dari melakukan kesilapan jika tidak mahu diaibkan oleh barisan serangan Kedah yang akan dikepalai oleh pemain kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli.

Sementara itu, dalam Kumpulan B, Perlis dijangka tidak berdepan masalah apabila melayan kunjungan Telekom Melaka di Kangar.

Pemenang kasut emas, Philimon Chipieta akan menjadi duri dalam daging buat barisan pertahanan kelab bimbingan Mat Zan Mat Aris itu.

Tetapi mereka perlu berhati-hati kerana lawan mampu membuat kejutan jika Singa Utara memperlekeh kemampuan kelab tersebut.

Negeri Sembilan yang menyimpan hajat mengungguli piala kedua selepas memenangi Piala FA, memikul tugas berat apabila bertemu Sarawak yang sukar untuk ditundukkan setiap kali beraksi di Bumi Kenyalang.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dHfT0Y70
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan