Khamis, 6 April 2017

Lapan pasukan sedia bertarung - Pemburu Piala Malaysia



ARKIB : 10/09/2003
  PAHANG lwn MPPJ
- BARISAN kendalian Yunus Aliff nampak begitu yakin mampu menumbangkan MPPJ di gelanggang sendiri. Penyerang kebangsaan, Hairuddin Omar, Azizul Kamaluddin, Fadzli Shaari dan tenaga import dari Brazil, Helton Soares bakal menemui sentuhan masing-masing untuk mencari bekalan selesa bagi skuad juara dua kali itu sebelum bertandang ke Petaling Jaya untuk suku akhir kedua. Begitupun, Pahang harus berhati-hati kerana MPPJ mampu membuat kejutan.

Pemain tumpuan: Hairuddin Omar

- MPPJ hadir sebagai pasukan underdog dan tiada sebarang tekanan berbanding Pahang. Seri sudah memadai buat MPPJ dan akan menggunakan kesempatan terbaik di gelanggang sendiri Sabtu ini. Jurulatih MPPJ, Dollah Salleh menyandarkan harapan kepada dua awang importnya, Juan Manuel Arostegui dan Bruno Sebastian Martelotto untuk mengejutkan Tok Gajah.

Pemain tumpuan: Juan Manuel Arostegui

PERLIS lwn PUBLIC BANK
- JURULATIH Perlis, Norizan Bakar harus membuat percaturan lebih teliti berdepan dengan Public Bank yang semakin bersemangat. Tonggak import dari Sierra Leone, Lamin Conteh Jr dan pemain kebangsaan Zambia, Philimon Chipeta berada pada prestasi terbaik dan Singa Utara perlu menggunakan kesempatan beraksi di Kangar untuk meraih bekalan seselesa mungkin.

Pemain tumpuan: Lamin Conteh Junior

- PUBLIC Bank pasti mengharapkan Ivan Ziga dan Milan Strelec terus menceriakan pasukan dengan sentuhan berbisa masing-masing selain tonggak serangan tempatan, S. Paidiya Rau. E. Evalarasan dikatakan akan menggunakan percaturan agak berlainan untuk cuba menyaingi kelicikan Perlis.

Pemain tumpuan: Ivan Ziga

PERAK lwn SARAWAK
- SELAKU juara tujuh kali dan juara liga musim ini, Perak menjadi pilihan untuk menjulang Piala Malaysia tahun ini. Toni Netto punya corak permainan ala Brazil biarpun memiliki tonggak import Liberia, Frank Seator yang sudah pulih daripada kecederaan serta bintang berbahaya India, Baichung Bhutia. Pemain kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin juga memiliki sentuhan berbisa biarpun sedikit tenggelam dengan kemunculan dua pemain itu.

Pemain tumpuan: Frank Seator

- BUJANG Senang sememangnya tidak senang berdepan dengan barisan gagah Perak tetapi Jalil Ramli telah bersiap sedia dengan skuadnya. Hajat menafikan kemaraan Perak bakal dibantutkan Sarawak menerusi gandingan mantap Robert Eshun dari Ghana, Sapian Wahid, Ramos Sari dan Ramles. Gilbert Cassidy Gawing juga sesekali berbahaya di depan gawang.

Pemain tumpuan: Robert Eshun

SABAH lwn KEDAH
- FINALIS dua kali, Sabah pasti mahu mengulangi pencapaian musim lalu ke perlawanan akhir. Sabah turut menjadi antara pilihan untuk menjulang Piala Malaysia musim ini, malah jika Sabah berjaya melakukannya, ia adalah piala pertama skuad Badak dalam kempen ini. Keith Gumbs menjadi tonggak harapan Justin Ganai untuk menafikan kebangkitan Kedah.

Pemain tumpuan: Keith Gumbs

- JUARA dua kali, Kedah agak tenggelam dalam kancah Piala Malaysia sejak 10 tahun lalu. Bagaimanapun, skuad bimbingan Jorgen E. Larsen kali ini nampak menyerlah biarpun muncul naib juara Kumpulan A. Sandaran Larsen tentulah kelicikan penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli dan Mohd. Rafdi Rashid. Bagaimanapun, benteng Kedah agak membimbangkan setelah Andrew Clark gagal beraksi selepas mengalami kecederaan siku. Liew Kit Kong mungkin akan kembali bersama pasukan untuk memperkuatkan barisan tengah Kenari tetapi penyerang dari Australia, James William belum tentu dapat diturunkan Larsen kerana cedera.

Pemain tumpuan: Akmal Rizal Rakhli

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dU3Z64YI
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan