Jumaat, 7 April 2017

Sokongan padu untuk MPPJ



ARKIB : 01/10/2003

Oleh NORZIE MOHD. KHASBI

BARISAN pemain dan pegawai pasukan bola sepak MPPJ bergambar bersama maskot skuad berkenaan labah-labah (Black Widow) selepas majlis pelancaran lagu rasmi dan logo MPPJ di Petaling Jaya, semalam.


SEKALIPUN Selangor tidak akan menjejakkan kaki dalam final bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini, Stadium Nasional, Bukit Jalil dijangka tetap dibanjiri dengan warna Merah Kuning apabila MPPJ Selangor menentang Sabah.

MPPJ telah mencuri hati penyokong Red Giants dengan muncul kelab pertama beraksi dalam saingan akhir Piala Malaysia dan dianggap penebus maruah Selangor.

Yang Dipertua MPPJ, Datuk Abdul Karim Munasir berkata, jumlah ahli Kelab Penyokong MPPJ telah meningkat sejak pasukan itu beraksi di suku akhir dan kebanyakannya adalah penyokong asal Selangor.

``Kami bukan saja mendapat sokongan daripada penduduk sekitar Petaling Jaya, malah kerajaan negeri Selangor dan para penyokong Selangor,'' Abdul Karim selepas melancarkan logo dan lagu rasmi MPPJ FC di ibu pejabat MPPJ, semalam.

``Dengan kerjasama daripada kerajaan negeri, kami telah menempah 30,000 tiket perlawanan akhir untuk dijual kepada peminat kelab, tetapi saya percaya peminat Selangor juga akan mendapatkannya.

``Walaupun jersi MPPJ adalah biru dan kami akan menggunakannya pada perlawanan akhir tetapi saya menjangkakan kombinasi warna biru serta merah-kuning akan membanjiri Stadium Bukit Jalil nanti.''

Menurut Abdul Karim, beliau percaya masyarakat kini mahu melihat sebuah kelab beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia kerana ia merupakan senario baru dalam bola sepak negara.

Katanya lagi, beliau kini yakin MPPJ akan turun seperti sebuah pasukan negeri dan bukan sekadar kelab biasa yang hanya memiliki segelintir peminat.

``Kerajaan negeri memberikan sokongan padu, Duli Yang Maha Mulia juga menyatakan sokongan baginda kepada MPPJ, malah baginda akan segera pulang dari Langkawi untuk menyaksikan final Sabtu ini.''

Tiket-tiket perlawanan akhir akan mula dijual esok, malah di beberapa tempat termasuk ibu pejabat MPPJ ia akan dijual 24 jam.

MPPJ akan cuba mendapatkan diskaun untuk tiket-tiket yang pada asalnya berharga RM20 kepada RM10 dan menarik kehadiran seramai mungkin penyokong dari sekitar Lembah Klang.

Karim, yang juga presiden MPPJ FC berkata, beliau juga sudah menemui formula untuk menyerapkan pelbagai pihak dari golongan Ngo dan politik untuk menjadi ahli Kelab Penyokong MPPJ FC.

``Kami dulu sebuah pasukan yang kecil, tetapi kini kami telah menjadi besar dan tidak mustahil akan membawa pulang Piala Malaysia.''

Sementara itu, semangat MPPJ untuk satu lagi sejarah bola sepak Malaysia disemarakkan lagi dengan pelancaran lagu rasmi pasukan, MPPJ Kebanggaan Negeri Selangor yang digubah oleh komposer veteran terkenal, Pak Ngah dan lirik oleh Siso.

Labah-labah berbisa, Black Widow pula dipilih sebagai maskot kelab dengan moto: ``Beware the Sting''.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dcAuU9iB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan