Jumaat, 7 April 2017

Insentif pemain MPPJ diputuskan hari ini - Berarak sebelum percutian



ARKIB : 07/10/2003

Oleh HARADIAN SHAH HAMDAN dan RADZUAN HASSAN

SEBAHAGIAN anak pemain-pemain MPPJ Selangor tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat Piala Malaysia yang dimenangi oleh bapa mereka di majlis keraian di Rasta Foodcourt di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur semalam. - Gambar SHAMSUDIN SALEH.

PARA pemain dan pegawai MPPJ Selangor dijangka menerima `durian runtuh' hari ini berikutan kejayaan mencipta sejarah muncul pasukan bertaraf kelab pertama memenangi kejuaraan bola sepak Piala Malaysia, Sabtu lalu.

Pengurus kelab tersebut, Redzuan Sintol memberitahu, satu sidang akhbar khas akan diadakan hari ini bagi mengumumkan bentuk imbuhan dan ganjaran yang bakal diberi kepada pemain dan pegawai kelab tersebut.

``Presiden MPPJ, Datuk Abdul Karim Munisar akan mengadakan satu sidang akhbar esok (hari ini) dan beliau akan memberitahu apa yang akan diperolehi oleh pasukan itu nanti,'' katanya semalam.

Jelasnya, pengumuman itu akan dibuat di Stadium MPPJ Kelana Jaya sempena majlis meraikan pemain dan perarakan Piala Malaysia di sekitar Petaling Jaya yang dijangka berakhir di ibu pejabat MPPJ di Jalan Yong Shook Lin, hari ini.

Redzuan bagaimanapun enggan mendedahkan bentuk imbuhan yang akan diterima pasukan itu dan menyerahkan kepada Abdul Karim untuk mengumumkannya.

Namun difahamkan pemain dan pegawai dijangka menerima ganjaran dalam bentuk wang tunai dan percutian ke luar negara.

Sementara itu, kerajaan negeri Selangor juga akan memberi ganjaran di atas kejayaan kelab yang merupakan ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo semalam memberitahu, imbuhan dan ganjaran pemain MPPJ kelak bakal menjadi pembakar semangat kepada PBT lain untuk mempamerkan kecemerlangan dalam bidang sukan.

``Kita belum menentukan (ganjaran) kepada MPPJ tetapi ia akan tetap diberi kerana mencatatkan sejarah manis kepada Selangor,'' jelasnya ketika ditemui di Shah Alam, semalam.

Seterusnya, menurut Mohamad Khir, kemenangan MPPJ itu juga telah mengembalikan semula semangat penyokong pasukan bola sepak Selangor yang hilang selama ini.

``Kita berharap kecemerlangan akan berterusan dan impian kita perlawanan akhir Piala Malaysia adalah antara MPPJ dengan Selangor mungkin akan berlaku satu hari nanti,'' kata beliau.

MPPJ yang dibimbing jurulatih Dollah Salleh mencipta sejarah baru dalam arena bola sepak tempatan dengan menjadi kelab pertama memenangi Piala Malaysia apabila menewaskan Sabah 3-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Penyerang dari Argentina, Juan Manuel Arostegui yang juga penjaring terbanyak Perdana Dua, muncul wira MPPJ apabila menjaringkan hatrik pada perlawanan tersebut.

Selain memenangi piala tersebut, MPPJ turut menunjukkan persembahan cemerlang pada musim kedua dalam Liga Malaysia dengan menduduki tempat keempat Perdana Dua dan mara ke suku akhir Piala FA.

Dalam pada itu, menurut Menteri Besar, ganjaran yang sama juga akan diberi kepada pasukan bola sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang turut mencatatkan kejayaan memenangi Piala FAM, baru-baru ini.

Selain MPPJ dan PKNS, menurut beliau, harapan yang tingi turut diletakkan di bahu pasukan bola sepak Majlis Perbandaran Subang Jaya yang mewakili Selangor dalam perlawanan separuh akhir Piala Emas Raja-Raja esok.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1007&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dcdObDHi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan