Rabu, 16 Oktober 2019

Pahang melangkah ke final

MyMetroNode
Kuantan: Juara bertahan, Pahang mengesahkan tiket ke final Piala Malaysia 2014 apabila mencatatkan kemenangan aggregat 6-3 ke atas Kedah, pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Darul Makmur, sebentar tadi.

Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu menumbangkan Kedah 5-0, selepas tunduk 1-3 pada aksi separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Ahad lalu.

Perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 1 November ini.

Pada babak pertama perlawanan, tuan rumah selaku penyandang Piala Malaysia dilihat berusaha bermati-matian mencari gol awal untuk memberi semangat ekoran ketinggalan 1-3 dalam perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Skuad Tok Gajah berjaya memecah kebuntuan seawal minit ke-4 menerusi Matias Ruben Conti yang menanduk bola masuk ke gawang lawan selepas menyambut tendangan sudut Azidan Sarudin.

Gol kedua Pahang pula hadir pada minit ke-25 menerusi R Gopinathan yang merembat kencang di dalam kotak penalti untuk menewaskan penjaga gol Kedah, Saiful Amar Sudar.

Pada minit ke-29, Azidan sekali lagi menjadi pencetus apabila melakukan hantaran silang sebelum disambar oleh Conti untuk meledakkan gol ketiga untuk Pahang.

Conti muncul penjaring hatrik pada perlawanan ini selepas menjaringkan gol keempat Pahang pada minit ke-36 rentetan gerakan menarik Dickson Nwakaeme yang menggelecek ke dalam kotak penalti sebelum melakukan hantaran kepada penyerang berbisa itu.

Pada awal babak kedua perlawanan, Kedah dilihat beraksi agresif melakukan serangan ke arah kubu Pahang untuk mengurangkan defisit gol, namun berjaya dikekang barisan pertahanan skuad Tok Gajah.

Pada minit ke-73, Nwakaeme beraksi cemerlang apabila melakukan larian dari tengah padang sehingga masuk ke kotak penalti sebelum merembat kencang membolosi gol lawan, menjadikan keputusan 5-0.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah hadir menyaksikan perlawanan.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Oktober 2014 @ 11:12 PM

Selasa, 15 Oktober 2019

Baddrol, Farhan ancaman Tok Gajah

MyMetroArena                    
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
 
KAPTEN Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Farhan Roslan antara pemain yang perlu disekat Pahang apabila kedua-dua pasukan bertemu pada separuh akhir pertama Piala Malaysia, Sabtu ini.

Ia diakui pemain pertahanan Tok Gajah, Zubir Azmi yang melihat skuad Lang Merah bergantung kepada dua pemain itu selain barisan import.

"Bagi saya, kami tidak boleh membiarkan Baddrol dan Farhan mengawal permainan di bahagian tepi dan serangan kerana mereka mampu melakukan jaringan.

"Pada masa sama, Kedah juga memiliki kelebihan yang dibantu pemain import untuk memberi tekanan kepada kami termasuk sokongan padu peminat Lang Merah.

"Tapi misi kami bukan saja mencatat keputusan positif tetapi ia lebih kepada mendapatkan bekalan gol di tempat lawan nanti," katanya.

Zubir berkata, kunjungan skuad itu ke Stadium Darul Aman, Alor Setar mempunyai misi besar untuk sekurang-kurangnya mencatat bekalan selesa.

Katanya, keputusan seri 0-0 pada saingan Liga Super di Alor Setar dan menang 1-0 di Kuantan memberi petanda positif buat skuad kendalian Dollah Salleh itu.

"Ketika seri tanpa jaringan di Alor Setar, saya bermain dan atas sebab itu boleh dikatakan Kedah sukar ditewaskan di tempat mereka.

"Tapi, kami tidak boleh membenarkan mereka membolosi gawang Pahang dan diharapkan keputusan terbaik diperolehi di sana nanti.

"Persefahaman dan fokus sepanjang 90 minit permainan akan memastikan Pahang tidak pulang dengan tangan kosong," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 2:24 PM