ARKIB : 27/09/2003
PERLIS
SINGA Utara akan mengamuk
habis-habisan di Kangar malam ini', begitulah kata-kata Kapten Pasukan Perlis,
Muhammad Kaironnisam Shahabuddin Hussain mengenai persiapan pasukan itu yang
akan menentang MPPJ Selangor dalam pertemuan separuh akhir kedua bola sepak
Piala Malaysia 2003 di Stadium Utama, Kangar, malam ini.
Biarpun sebelum ini Perlis lebih
selesa mengambil sikap merendah diri, tetapi kali ini kata-kata itu diluahkan
sendiri oleh Muhammad Kaironnisam atau lebih dikenali sebagai `Botak' di
kalangan rakan-rakan sepasukannya.
Dia berkata, walaupun Perlis kini
ketinggalan dengan agregat dua jaringan, itu tidak bermakna pasukannya sudah
menyerah kalah dan memberi laluan mudah kepada MPPJ untuk mara ke perlawanan
akhir.
``Semua pemain Singa Utara akan
berjuang habis-habisan malam ini dan kami semua menyifatkan perlawanan ini
paling penting, tidak salah jika dianggap sebagai perlawanan akhir,'' katanya
ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Katanya, Perlis terpaksa bersikap
sedemikian setelah tewas 3-1 dalam pertemuan pertama di Stadium MPPJ Petaling
Jaya, Sabtu lalu.
Tiga gol yang dijaringkan oleh
Juan Manuel Arostegui, Bruno Martelotto dan Aiman Fidaus Tan Abdullah
membolehkan MPPJ selesa berkunjung ke Kangar walaupun Perlis berjaya
menghasilkan gol tunggal melalui Philimon Chipeta.
Muhammad Kaironnisam memberitahu,
semua pemain Perlis berkeyakinan tinggi dan mereka mampu membuat kejutan pada
perlawanan malam ini.
``Cuma saya dan semua
pemain-pemain lain berharap supaya penyokong-penyokong Perlis setia memberi
sokongan padu kepada pemain sehingga ke wisel penamat. Teruslah memberi
sokongan biarpun lawan berjaya menambah jaringan gol,'' katanya.
Menyedari tugas berat yang bakal
dihadapinya selaku ketua pasukan, Muhammad Kaironnisam berkata, cabaran itu
bakal dihadapi oleh semua pemain yang mengamalkan sikap bermain dalam satu
pasukan.
PERAK
KETUA Pasukan Perak, Ahmad
Shahrul Azhar menyifatkan pasukannya dan Sabah mempunyai kekuatan seimbang
tetapi pasukan yang bijak merebut peluang dalam saingan separuh akhir kedua
bola sepak Piala Malaysia malam ini yang akan berjaya menjejak kaki ke
perlawanan akhir.
Katanya, walaupun beraksi di
gelanggang sendiri malam ini, Perak tidak mempunyai kelebihan jika pemain gagal
memberikan komitmen tinggi.
Dia berpesan kepada rakan-rakan
dan para penyokong supaya tidak terlampau ghairah walaupun telah berjaya
mengikat Sabah 1-1 di Kota Kinabalu, Sabtu lalu.
``Saya ingat bagaimana Sabah
menumbangkan kami dengan jaringan 2-1 di Ipoh walaupun sebelum itu, kami
berjaya mengikat pasukan tersebut 2-2 dalam separuh akhir musim lalu.
``Sejarah boleh berulang lagi
jika tiada komitmen yang mantap dan jitu daripada semua pemain dan sekali gus
mengecewakan ribuan peminat tempatan,'' jelas Shahrul.
Ketua Pasukan itu memberitahu,
para pemain sudah bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi setiap
asakan dan serangan Sabah seperti mana yang dilakukan di Stadium Likas minggu
lalu.
Selain itu, katanya, Frank Seator
dan K. Nantha Kumar yang mengalami kecederaan pada separuh akhir pertama sudah
pulih sepenuhnya dan mampu diturunkan malam ini.
SABAH
Ketua Pasukan Sabah,Jelius Ating
mengakui peluang kedua-dua pasukan ke perlawanan akhir seimbang kerana
masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri.
Namun, Jelius berkata, Perak
mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri yang sudah tentu
mendapat sokongan padu daripada para penyokong sendiri.
``Bagaimanapun, Sabah tidak
gentar dengan tekanan itu kerana sudah bersedia dari segi mental dan fizikal,''
katanya ketika ditemui di Ipoh semalam.
Mengenai kontroversi berhubung
jaringan gol yang tidak disahkan oleh pengadil, Sabtu lalu, Jelius berkata,
tumpuan pemain Sabah tidak terjejas dan menganggapnya sebagai satu cabaran bagi
mengharungi perlawanan getir malam ini.
Ketua Pasukan Sabah itu turut
beraksi ketika pasukannya menumpaskan Perak 2-1 tahun lalu tetapi beranggapan
bahawa kejayaan itu sudah berlalu.
``Kedua-dua pasukan sudah
mempunyai para pemain yang berbeza dan corak persembahan turut berubah yang
mana Perak sudah tentu belajar dari kesilapan lalu ,'' ujar Jelius.
Katanya, pemain Sabah bertekad
untuk memberi komitmen sepenuhnya bagi membawa skuad Di Bawah Bayu itu ke
perlawanan akhir bagi kali kedua berturut-turut.
``Kita tunggulah 90 minit
terakhir ini yang akan menjadi penentuan kepada mana-mana pasukan yang akan ke
perlawanan akhir,'' kata Jelius.
MPPJ Selangor
KAPTEN pasukan MPPJ Selangor,
Khairil Zainal yakin semangat pemain-pemain pasukannya tidak luntur biarpun
menyedari bakal menghadapi tentangan hebat Perlis dalam perlawanan separuh
akhir kedua bola sepak Piala Malaysia 2003 di Stadium Utama, Kangar, malam ini.
Menyedari Perlis bagaikan `singa
lapar' berikutan kekalahan 3-1 di Petaling Jaya Sabtu lalu, dia dan rakan-rakan
sepasukan tidak akan memberi laluan mudah kepada Perlis untuk bangkit mencari
penawar di gelanggang sendiri.
``Biarpun merasai tekanan kerana
bermain di depan ribuan penyokong Perlis, pasukan kami akan bermain sebagaimana
perlawanan minggu lalu kerana menyifatkan Perlis yang lebih tertekan,'' katanya
ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Khairil yang diberi kepercayaan
untuk mengetuai skuad MPPJ yakin para pemain pasukannya mampu mengekalkan
keputusan perlawanan, seterusnya mencatat sejarah sebagai pasukan kelab pertama
layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.
Cuma dia dan rakan-rakan lain
akan tetap berhati-hati dengan corak permainan pantas yang mungkin ditunjukkan
oleh pemain Perlis untuk meraih gol awal.
``MPPJ bertandang ke Kangar dalam
keadaan tidak tertekan dan kami akan bermain seperti biasa selain berwaspada
dengan jentera serangan Perlis,'' katanya.
Skuad bimbingan bekas pemain
kebangsaan, Dollah Salleh itu mendapat bekalan selesa selepas kemenangan 3-1
hasil jaringan dua pemain import dari Argentina, Juan Manuel Arostegui dan
Bruno Sebastian Martelotto serta Aiman Firdaus Tan Abdullah di Kelana Jaya,
Sabtu lalu.
Malam ini, mereka bakal
berhadapan dengan pasukan bimbingan Norizan Bakar dalam misi mempertahankan
jumlah agregat seterusnya melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Malaysia
pada 4 Oktober ini.
Ditanya mengenai tekanan yang
bakal dihadapi apabila beraksi di gelanggang lawan, Khairil yang sebelum ini
pernah bermain untuk skuad Olimpik berkata, pengalaman kesemua pemain akan
digunakan bagi menghadapi sorakan penonton pihak lawan.
``Saya akui kami akan berhadapan
dengan 11 pemain Perlis dan ribuan sorakan penonton Singa Utara, namun
pengalaman berbelas tahun beraksi dalam sukan bola sepak akan digunakan pada
malam ini,'' ujar beliau.
Sementara itu, Dollah ketika
dihubungi berkata, para pemainnya akan mengekalkan corak permainan seperti
biasa dan tidak akan melepaskan peluang untuk menambah jaringan gol.
``Selain mengekang kemaraan
Perlis, kami perlu berhati-hati terutamanya dua pemain import mereka, Philimon
Chipeta dan Lamin Conteh Jr. yang akan mengasak ke kubu gol MPPJ,'' katanya.
Mengenai kehadiran penyerang
MPPJ, Haris Safwan Kamal yang terpaksa menduduki peperiksaan di Universiti Malaya,
Dollah berkata, pemain itu hampir pasti bakal diturunkan malam ini bagi
memperkuatkan jentera serangan MPPJ.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0927&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4daJAoZn4
© Utusan Melayu (M) BhdS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan