Jumaat, 7 April 2017

Suku Akhir Piala Malaysia - Bekalan selesa bukan penentuan



ARKIB : 13/09/2003

Oleh ZAINU'L AZHAR ASH'ARI

KISAH suka duka tiga hari lalu masih belum boleh dijadikan penentu untuk lapan pasukan merintis laluan mudah ke separuh akhir bola sepak Piala Malaysia 2003 kerana saingan sebenarnya yang pasti mendebarkan bermula malam ini.

Bukannya mudah untuk bergelar empat pasukan terbaik yang layak ke separuh akhir walaupun dua di antaranya dikatakan sudah memperoleh ``modal'' selesa dalam suku akhir pertama.

Tiga hari lalu, juara Perdana Satu, skuad Seladang menewaskan Sarawak 2-0 dalam saingan suku akhir pertama di gelanggang sendiri di Stadium Perak, Ipoh.

Kelebihan dua jaringan mungkin memberi sedikit kelegaan kepada Perak tetapi membalas kunjungan ke gelanggang lawan bukannya mudah, malah saingan sengit pasti di rasai.

Ini diakui oleh Pengurus Perak, Datuk Jamal Nasir Rasdi yang mengharapkan pemain skuad berkenaan supaya tidak terlalu yakin, apatah lagi ketika menentang Sarawak yang terkenal dengan permainan pantas.

Satunya kelebihan Sarawak ialah pasukan berkenaan mempunyai barisan pemain yang sanggup berjuang sehingga ke titisan keringat terakhir, tidak akan sesekali menyerah kalah sehinggalah wisel ditiupkan sebagai menandakan tamat permainan.

Satu lagi faktor cukup ditakuti Perak ialah status elit pasukan berkenaan yang secara tidak langsung menyemarakkan semangat pasukan-pasukan lain untuk menewaskannya.

Bagi pasukan kurang ternama, adalah menjadi satu kebanggaan sekiranya dapat mengalahkan skuad juara seperti Perak.

Itulah misi Sarawak, melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan pasukan handalan yang jelas bukannya perkara mudah tetapi tidak mustahil dapat dilakukan.

Perak pula, kelebihannya tetap ada. Masalah pemain tidak timbul. Tanpa penyerang Frank Seator sekali pun, Seladang mampu mencemaskan lawan menerusi penyerang import dari India, Baichung Bhutia yang kini sudah menunjukkan taringnya dengan kemampuan menghasilkan jaringan.

Berbanding Perak, jirannya Kedah pula ketinggalan satu jaringan apabila gagal mencari kelebihan ke atas Sabah ketika beraksi dalam suku akhir pertama di Stadium Likas.

Namun, bagi Sabah, kelebihan satu gol belum begitu selesa kerana terpaksa menghadapi Kedah di Stadium Darulaman.

Jika penyerang sensasinya yang pernah beraksi di luar negara, Akmal Rizal Rakhli gagal mencuri tumpuan di Kota Kinabalu, pusingan kedua tetap menaruhkan harapan kepadanya untuk membantu skuad Kenari merobek gawang lawan.

Berdasarkan keputusan suku akhir pertama, perlawanan malam ini di antara kedua-dua pasukan masih boleh dianggap terbuka walaupun Sabah mempunyai hanya sedikit kelebihan.

Bagaimanapun, Kedah tidak mahu kisah pahit suku akhir pertama berulang hanya kerana seorang pemusnah iaitu Keith Gumb yang begitu lincah sehingga menyukarkan pertahanan Hijau Kuning untuk mengawalnya.

Pastinya, jurulatih Jorgen Larsen mempunyai strategi tertentu untuk menyekat kemaraan Sabah, di samping memberi tekanan kepada skuad pelawat.

Di sebalik kebimbangan Kedah, jiran paling hampirnya, Perlis lega dengan kelebihan 2-0 ke atas Public Bank Selangor.

Sebagaimana pasukan lain, Perlis terpaksa berkunjung ke gelanggang lawan untuk meneruskan saingan suku akhir kedua.

Walaupun beraksi di gelanggang lawan, sudah tentu Perlis tidak akan membiarkan Public Bank selaku juara Perdana Dua mengatasinya.

Perlis tentunya mengharapkan penyerang Phillimon Chipeta yang memenangi kasut emas dalam Liga Perdana Satu 2003.

Pahang pula gagal mengambil kesempatan di gelanggang sendiri apabila terikat tanpa jaringan dengan MPPJ Selangor.

Kegagalan itu menyaksikan betapa Pahang tidak boleh memandang rendah keupayaan lawan yang ternyata begitu liat untuk ditundukkan.

Sekiranya di Stadium Darul Makmur, Pahang gagal merobek gawang MPPJ, apatah lagi di Stadium Selayang dalam suku akhir kedua malam ini.

Ini membuktikan bahawa pasukan bertaraf kelab juga tidak boleh dianggap kurang menyengat, malah sudah timbul tanda-tanda kebangkitan ketika menentang skuad handalan.

Bukannya status pasukan menjadi faktor, kegigihan dan persembahan yang mantap bakal menjadi kunci kejayaan untuk setiap pasukan. Itupun jika tidak ada kesilapan kerana sedikit kelemahan mungkin membawa padah berpanjangan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dYT4JLtd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan