ARKIB : 21/09/2004
PEMAIN Perlis sekali lagi berdepan isu bayaran imbuhan yang tidak selesai apabila mereka masih belum menerima agihan daripada hadiah berjumlah RM200,000 sebagaimana yang dijanjikan setelah mendapat tempat ketiga dalam saingan Liga Super 2004 yang berakhir pada 4 Ogos lalu.
Menurut sumber, setiap pemain pasukan itu dijangka menerima bayaran yang paling tinggi dalam lingkungan RM9,000 seorang sekiranya mereka bermain dalam kesemua perlawanan liga tersebut.
Dalam saingan Liga Super, Pahang muncul juara untuk menggondol wang tunai RM500,000 manakala Public Bank di tempat kedua menerima RM300,000.
Masalah itu timbul apabila pihak pengurusan PFA pernah berjanji untuk membayar imbuhan tersebut sebelum Piala Malaysia bermula namun sehingga kini para pemain masih belum menerima wang yang dijanjikan.
``Sikap pihak pengurusan yang gemar menabur janji kosong menyebabkan para pemain Perlis kecewa kerana selama ini mereka memberikan persembahan terbaik untuk pasukan.
``Pemain tidak kisah jika pihak pengurusan PFA tidak berjanji untuk membayar wang tersebut tetapi apabila sudah berjanji, ia mestilah ditepati,'' katanya kepada Sukan Utusan di Kangar, semalam.
Perlis mendapat tempat ketiga Liga Super setelah menewaskan Sarawak 1-0 di gelanggang lawan manakala Perak yang sebelum itu menghuni tangga ketiga tewas mengejut 4-1 kepada Public Bank.
Ini merupakan masalah kedua menimpa skuad Perlis. Pada Julai lalu, para pemain mendakwa mereka tidak menerima gaji untuk bulan Jun dan Julai. Namun perkara itu telah diselesaikan.
Sumber itu memberitahu, kali terakhir pengurusan PFA berjanji bahawa wang tersebut akan dibahagikan kepada para pemain iaitu sebelum menentang Sabah dalam saingan Kumpulan D Piala Malaysia baru-baru ini.
``Mana janji sebelum ini, kononnya hendak dilangsaikan sebelum bermula Piala Malaysia tetapi sehingga kini, setelah mengharungi empat perlawanan Piala Malaysia dan hanya berbaki dua perlawanan, kami tidak menerima apa-apa.
``Ini berlainan sekali dengan pemain-pemain Public Bank yang kami fahamkan mendapat pembahagian imbuhan daripada hadiah RM300,000 yang dimenangi sebaik sahaja dinobatkan naib juara liga.
``Jika begini sikap yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan PFA, bagaimana para pemain hendak memberikan aksi yang terbaik kerana penat lelah mereka selama ini tidak dihargai malah ditabur dengan janji-janji kosong.
``Sebenarnya, kami tidak mempunyai apa-apa masalah untuk bermain dengan sebaik mungkin tetapi kami juga memerlukan sumber kewangan bagi meneruskan kehidupan sebagaimana orang lain,'' kata sumber itu.
Sehubungan itu, kata sumber berkenaan, pihak pengurusan PFA diharap dapat menyegerakan pembayaran imbuhan tersebut.
``Ini penting untuk kebaikan kedua-dua pihak,'' kata sumber itu.
Sumber itu memberitahu, perkembangan terbaru pihak pengurusan dikatakan hanya akan membayar wang tersebut setelah mendapat lampu hijau daripada Presiden PFA iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Menteri Besar Perlis.
Sementara itu, pengurus Perlis, Adzmi Saad ketika dihubungi semalam menjelaskan bahawa beliau dimaklumkan oleh Bendahari PFA bahawa wang itu hanya akan dibayar kepada pemain setelah mendapat kata putus daripada Shahidan.
``Saya tidak mampu berbuat apa-apa walaupun saya pernah berjanji akan membayar wang tersebut sebelum bermula Piala Malaysia tetapi itu sudah diputuskan oleh persatuan dan bukannya saya seorang,'' jelas beliau.
Singa Utara yang dibimbing jurulatih Norizan Bakar akan bertemu dengan Telekom Melaka di Stadium Kubu esok, sebelum menanti kehadiran Sabah dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 29 September depan.
Pasukan itu kini menghuni tangga kedua kumpulan D dengan memungut enam mata di belakang Sabah selepas mencatatkan dua kemenangan iaitu menumpaskan Telekom Melaka 3-2 dan Johor FC 2-1, baru-baru ini.
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan