ARKIB : 23/11/2004
Tumpuan kepada pertemuan Sabah menanti kunjungan Kedah di Stadium Likas manakala dalam perlawanan satu lagi juara Liga Super musim ini, Pahang bertandang ke Stadium Utama berdepan dengan Perlis.
Saingan separuh akhir kedua pula akan diadakan pada 27 November ini.
Sukar untuk menjangkakan siapa yang lebih handal dan gagah atas reputasi semasa, hanya tempoh babak permainan 90 minit akan menjadi penentu.
Tempoh rehat yang begitu panjang membolehkan keempat-empat pasukan membuat persiapan rapi untuk mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia yang dijadualkan pada 4 Disember ini.
Majoriti kesebelasan utama empat pasukan yang bersaing di separuh akhir bertekad untuk mengatasi lawan masing-masing.
Atas kertas, Pahang dan Kedah adalah pasukan berpengalaman yang pernah mendakap gelaran selaku juara Piala Malaysia ketika Sabah dan Perlis cuba melakar sejarah bergelar juara piala berprestij ini.
Kehebatan Pahang yang dikendali oleh jurulatih Zainal Abidin Hassan tidak boleh dipandang remeh.
Impian skuad Tok Gajah lebih menggunung selepas bergelar juara Liga Super musim ini, mereka memasang hajat besar untuk mencipta kejayaan berganda.
Sabah lawan Pahang dalam saingan malam ini, akur dan menyedari hakikat kehebatan skuad Tok Gajah yang memiliki barisan elit.
Begitu juga dengan Kedah dengan prestasi turun naik sejak awal saingan liga tetapi secara mendadak berjaya meloloskan diri untuk mara ke separuh akhir.
Situasi ini meletakkan skuad Hijau Kuning pada tahap memuncak untuk meneruskan kecemerlangan mereka menyekat hajat besar Sabah.
Sabah pula pastinya tidak mahu terlepas peluang bergelar juara setelah dua kali berturut-turut dikecewakan oleh Selangor dan MPPJ pada perlawanan akhir 2002-2003.
Ketika itu, skuad Badak tunduk 0-1 kepada Selangor manakala penyerang import MPPJ, Juan Manuel Arostegui mencipta jaringan hatrik menyekat hajat menggunung Sabah.
Sabah yang dikendali oleh jurulatih dari Portugal, Jose Garrido meniup tonik semangat buat anak buahnya yang berikrar mahu menebus dua kekecewaan pada musim 2002-2003.
Nasib yang sama milik Perlis yang menjadi satu-satunya negeri di utara yang masih kempunan bergelar juara Piala Malaysia berbanding Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
Empat kali berturut-turut mara ke separuh akhir tetapi segala-galanya tidak memihak kepada skuad Singa Utara.
Kekecewaan yang dialami oleh Sabah dan Perlis pastinya tidak akan dilupakan begitu sahaja.
Peluang yang terhidang pastinya buat kedua-dua pasukan akan berjuang habis-habisan bagi memastikan impian melakar sejarah mendakap Piala Malaysia menjadi kenyataan tahun ini.