Ahad, 19 Mac 2017

Malam seribu harapan


 

ARKIB : 03/11/2001
DUA pasukan yang akan bertemu dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, Terengganu (gambar kiri) dan Perak (kanan) bergambar dengan menyarung jersi rasmi di stadium keramat masing-masing, semalam. Terengganu di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu sementara Perak di Stadium Perak, Ipoh.

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
APABILA Penyu (Terengganu) dan Seladang (Perak) bertemu, siapakah yang lebih kuat. Perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini menjadi penentu seribu harapan bagi kedua-dua pasukan.

Penyu memulakan aksinya tahun ini dengan rekod cemerlang, muncul pemenang Piala Sumbangsih dan kemudian muncul naib juara Perdana Satu - cukup untuk meletakkan mereka sebagai pasukan yang konsisten.

Perak pula agak suram dalam kempen Perdana Satu. Menduduki tangga keenam Perdana Satu dan dilanda kontroversi apabila jurulatih asalnya, Karl Weigang terpaksa meninggalkan negara ini kerana ketiadaan permit kerja.

Jurulatihnya sekarang, M. Karathu hanya mula bersama skuad itu pada Ogos lepas.

Kedua-dua pasukan telah bertemu sebanyak lima kali sepanjang tahun ini. Pertemuan pertama dalam Piala Sumbangsih dimenangi Terengganu dengan keputusan 4-0 sebelum bertemu dua perlawanan dalam liga.

Secara kebetulan kedua-dua pasukan juga berada dalam kumpulan yang sama ketika kempen Piala Malaysia bermula.

Jurulatih kedua-dua pasukan, Mat Zan Mat Aris bagi Terengganu dan Karathu hanya merasakan manisnya muncul juara Piala Malaysia ketika masih sebagai pemain masing-masing ketika bersama Kuala Lumpur dan Perak. Selaku jurulatih mereka belum pernah.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan menganggap pasukan lawan ialah pilihan - sebagai permulaan perang psikologi untuk meletakkan tekanan di bahu musuh.

`'Terengganu ialah pasukan yang konsisten. Mereka adalah pilihan berdasarkan rekod sepanjang musim ini,'' kata Karathu dalam sidang akhbar di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Bagaimanapun, katanya, Perak sudah berubah daripada pasukan yang terumbang-ambing pada awal musim untuk meningkat dan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia.

``Semangat juang pemain-pemain Perak jauh lebih baik sekarang dan mereka tidak mahu melepaskan peluang ini setelah berusaha sejauh ini,'' tegasnya.

Pengurus Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh pula menganggap peluang pasukannya seimbang dengan Perak.

``Perak menjadi pasukan pilihan kerana memiliki kekuatan seimbang di semua posisi. Tetapi secara peribadi saya melihat kekuatan mereka bermula di bahagian tenagh ke atas (serangan),'' katanya.

Kedua-dua pasukan pasti masih terkenang-kenang perlawanan akhir pada 1998. Ketika itu, Perak boleh mendabik dada kerana berjaya muncul juara dan malam ini akan beraksi pula selaku juara bertahan.

Tetapi, kedua-dua pasukan mengakui perlawanan lepas sudah menjadi sejarah dan malam ini ialah satu episod baru.

Sama ada Penyu mampu melemaskan Seladang atau menjadi mangsa tanduk musuhnya itu, Karathu dan Che Mat sepakat hanya pasukan yang tidak melepaskan peluang akan muncul pemenang.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmvGV100 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan