Ahad, 19 Mac 2017

Pandangan mereka:

ARKIB : 03/11/2001
PERAK
Saya akui, Terengganu mempunyai pemain berpengalaman, kerja kuat dan rajin. Malah mereka mempunyai kekuatan seimbang di semua posisi.

Tetapi perlu diingat, perlawanan akhir bukan hanya menuntut itu saja, tetapi cara pemain mengendalikan suasana dan itu merupakan kelebihan yang ada pada Perak. - AHMAD SHAHRUL AZHAR, Ketua pasukan Perak.

Perak akan bermain dalam keadaan bergaya ketika beraksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil nanti dan kami berharap perlawanan akhir nanti tidak hujan kerana pasukan ini mempunyai banyak kelebihan ketika bermain di padang yang kering. - DATUK JAMAL NASIR RASDI, Pengurus Perak.

Benteng terakhir Perak akan saya jaga dengan rapi supaya ia tidak dibolosi.

Saya akan memastikan setiap sepakan pemain Terengganu ke arah gawang, akan saya tepis keluar kerana saya yakin, Perak mempunyai kelebihan bermain dalam perlawanan akhir.

Akhirnya, saya yakin Perak akan muncul juara. - AZLISHAM IBRAHIM, Penjaga gol.

TERENGGANU
SAYA begitu mengharapkan Piala Malaysia akan menjadi milik mutlak Terengganu. Saya berjanji untuk menunjukkan permainan seratus peratus bagi mencapai matlamat itu.

Saya mengharapkan semua rakan dapat bermain dalam aksi sebenar dengan melakukan serangan pantas sehingga berjaya menjaringkan seberapa banyak gol. - ZULHARISAM AWANG, Ketua pasukan Terengganu.

SAYA pasti perlawanan malam ini adalah sengit, tetapi kemenangan akan menjadi milik Terengganu sekiranya setiap pemain bekerja keras dalam merealisasikan impian tersebut.

Kita tidak boleh leka dengan rentak lawan kerana Perak memiliki banyak pemain bermutu. Selain bertindak sebagai perancang utama, saya akan terus menggempur ke arah kubu lawan sekiranya ada peluang. - HAIRUDDIN OMAR, Pemain tengah.

PERAK adalah pasukan yang baik walaupun tenggelam di awal musim, tetapi Terengganu mampu mengulangi kecemerlangan sepertimana menang dalam perlawanan Piala Sumbangsih.

Sekiranya rentak permainan kita mampu dikekalkan, saya percaya Terengganu dapat menjulang Piala Malaysia. - SAPIAN WAHID, Penyerang.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4bmxMZ9px

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan