ARKIB : 10/10/2001
KETUA pasukan Selangor, Yusri
Che Lah (kiri) berebut bola di udara dengan pemain Kuala Lumpur, K.
Ramachandran dalam perlawanan Piala Malaysia di Stadium Petaling Jaya, semalam.
Selangor menang 3-2. - Gambar ASWAD YAHYA.
JUARA bertahan, Perak mengetuai
empat lagi pasukan layak ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas
melepasi halangan peringkat kumpulan, semalam.
Empat pasukan lain ialah
Selangor, Pahang, Kelantan dan Perlis ketika hajat untuk menyaksikan pasukan
kelab terus memberikan saingan menemui kehampaan.
Perak layak ke suku akhir
dengan bergaya apabila menundukkan juara kumpulan C, Terengganu 3-0 di Stadium
Perak, Ipoh dengan penyerang kebangsaan, Khalid Jamlus menjaringkan dua gol
pada minit ke-43 dan 67 sebelum Norsyazwan Mohd. Nor menambah gol ketiga pada
minit ke-80.
Di Stadium Sultan Mohd. IV,
Kota Bharu, TNB Kelantan mencatat kemenangan 3-1 ke atas kelab senegeri, JKR
Kelantan, tetapi gagal memintas Perak atas perbezaan gol setelah masing-masing
terikat dengan 10 mata.
Bekas penyerang kebangsaan,
Hashim Mustapha menjaringkan dua gol untuk TNB Kelantan pada minit ke-12 dan 39
sebelum Rosli Ismail menambah gol ketiga pada minit ke-50. Empat minit
kemudian, Zainuddin Ariffin dilayangkan kad merah oleh pengadil.
JKR Kelantan hanya berupaya
memberikan saingan pada babak pertama apabila Adnan Musa menjaringkan gol sagu
hati pada minit ke-21.
Perlis pula menemani Pulau
Pinang ke suku akhir dari kumpulan D selepas mengejutkan juara Perdana Satu itu
2-1 di Stadium Utama, Kangar.
S. Paidiya Rau membuka tirai
jaringan buat Perlis pada minit ke-52 sebelum Che Hussin Man menjaringkan gol
kemenangan 10 minit sebelum tamat, setelah Samuel Raj menjadikan kedudukan 1-1
buat Pulau Pinang pada minit ke-53.
Dalam satu lagi perlawanan,
Sabah melengkapkan kempennya dengan menumpaskan JKR Kedah 3-0 di Stadium Darul
Aman, Alor Setar.
K. Sanbagamaran menjaringkan
dua gol pada minit ke-18 dan 25 sebelum Shahrin Majid menambah gol ketiga pada
minit ke-80, tetapi tetap gagal membantu Sabah mara ke suku akhir.
Dalam kumpulan A, Selangor mara
ke suku akhir hasil kemenangan tipis 3-2 ke atas Kuala Lumpur di Stadium
Petaling Jaya.
Ketua pasukan Selangor, Yusri
Che Lah membuka tirai jaringan pada minit ketujuh tetapi berjaya disamakan oleh
Liew Kim Tu pada minit ke-38.
Tengku Hazman Raja Hassan dan
Mohd. Nizaruddin Yusof meletakkan Selangor pada kedudukan selesa dengan
menyumbat masuk pada minit ke-59 dan 69. Kuala Lumpur terus memberi tentangan
tetapi sekadar mampu menjaringkan gol kedua pada minit ke-88.
Negeri Sembilan pula kekal
sebagai juara kumpulan A dengan menundukkan Johor FC 4-1 di Stadium Tuanku
Abdul Rahman, Paroi.
Johor FC mencipta kejutan pada
minit ke-16 apabila mendahului menerusi Mustaza Maah sebelum Wong Sai Kong
menyamakan kedudukan pada minit ke-21.
Tuan rumah semakin garang
dengan Azman Adnan mencipta hatrik pada minit ke-34, 54 dan 68, sekali gus
menghampakan kelab dari selatan itu yang berhajat mara ke suku akhir Piala
Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
Di Stadium Darul Makmur, Pahang
dan Kelantan sama-sama mara ke suku akhir dari kumpulan B. Skuad Tok Gajah
bagaimanapun muncul juara kumpulan setelah menumpaskan Kelantan 1-0 hasil
jaringan Jalaludin Jaafar pada minit ke-23.
Dalam satu lagi perlawanan,
hajat NS Chempaka untuk ke suku akhir terhapus setelah tunduk tunduk 2-1 kepada
Sarawak di Stadium Sarawak, Kuching.
Zulkarnain Mohd. Poasa
meletakkan tuan rumah, yang sudah tersingkir lebih awal, di depan pada minit
ke-27 sebelum Abd. Halim Jantan menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-62.
NS Chempaka membalas menerusi K. Nanthakumar pada minit ke-35. - Utusan
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1010&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blL8lL00
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan