Sabtu, 25 Mac 2017

Kemaraan bergaya Selangor



ARKIB : 20/10/2002
PEMAIN Kedah, Shariman Che Omar berusaha merampas bola dari pemain MPPJ, G.Muthu dengan diperhatikan oleh Irwan Fadzly Idrus pada saingan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium MPPJ, semalam. - Gambar SAIFUL BAHARI ASHARI.

Oleh YUSWANDI MAJID
HARAPAN Selangor untuk menjulang kejuaraan bola sepak Piala Malaysia buat kali ke-29 semakin cerah selepas menundukkan Pahang 2-0 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam, sekali gus melayakkan mereka ke separuh akhir.

Kemenangan itu mengesahkan kemaraan bergaya skuad Red Giants dengan agregat 4-0 selepas menundukkan Tok Gajah dengan jaringan yang sama di Shah Alam, Selasa lalu.

Gol pertama Selangor dijaringkan oleh pemain importnya, Mass Sarr Jr. pada minit ke-70 sebelum Mohd. Fareed Shah Hassan yang menggantikan Mass Sarr, menambah derita Pahang menerusi jaringan kedua minit ke-83.

Aksi di Kuantan seharusnya memihak kepada pasukan tuan rumah yang lebih banyak mengasak kubu pelawat.

Pahang sepatutnya mampu menjaringkan gol sulung perlawanan apabila mendapat sepakan penalti pada minit kelapan.

Bagaimanapun ketua pasukan, Ahmad Shahruddin Rosdi yang mengambil sepakan itu, menyepak lemah ke kiri pintu gol Selangor yang ditepis keluar oleh Azmin Azram Aziz.

Pahang mendapat sepakan itu selepas Iskandar Zulkarnain dijatuhkan oleh Ivica Kulesevic yang menyebabkan pemain import Selangor itu turut dilayangkan kad kuning.

Sebelum itu, pasukan Tok Gajah turut terlepas peluang terbaik seawal minit kedua apabila bola tandukan Ahmad Shahruddin hasil hantaran lintang Azizul Kamaluddin tersasar.

Selangor nyaris mengejutkan Pahang pada minit ketujuh menerusi percubaan Mohd. Amri Yahyah yang terkena palang walaupun penjaga gol, Zuraimi Hassan sudah tertewas.

Amri yang membawa bola dari tengah padang hasil satu serangan balas melepaskan sepakan deras yang menggegarkan palang gol Pahang.

Begitupun, Selangor akhirnya menemui sentuhan untuk mengecewakan Pahang di gelanggang sendiri apabila Mass Sarr merembat bola ke gawang Pahang selepas berlaku kelam kabut di depan pintu gol pasukan tuan rumah.

Mohd. Fareed yang masuk menggantikan Mass Sarr dalam 10 minit terakhir perlawanan, tidak melepaskan peluang untuk menambah jaringan Selangor apabila mudah menolak bola masuk ketika benteng Pahang sedang leka.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cNr52mL7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan