ARKIB : 16/10/2001
Oleh JOHARI SHAWAL
BOLA sepak Piala Malaysia kini
memasuki babak kalah mati dengan peringkat suku akhir berlangsung malam ini
melibatkan lapan pasukan gagah yang cemerlang di peringkat kumpulan.
Melihat kepada jadual
pertemuan, semua perlawanan harus menjadi tumpuan tetapi pertembungan dua
finalis tahun lalu, Negeri Sembilan dan Perak di Seremban menjadi fokus utama
selain Terengganu berdepan Selangor di Kuala Terengganu.
Negeri Sembilan berputih mata
musim lalu menerusi dua jaringan Perak pada aksi akhir di Stadium Shah Alam,
sekali gus memanjangkan tempoh penantian 52 tahun si Rusa untuk menjulang piala
berprestij itu.
Perak harus megah dengan
kejuaraan kali keempatnya selepas kali terakhir pada 2000 di bawah bimbingan
Karl Heinz Weigang. Jurulatih dari Jerman itu sebelum ini sudah pun
menghadiahkan Piala Malaysia kepada Perak pada 1998.
Biarpun Weigang tiada lagi
tetapi skuad Seladang tetap bernafsu untuk mempertahankan kejuaraan mereka.
Perak mara ke suku akhir dengan
laluan penuh liku tetapi begitulah cara Perak yang sering menjadi apabila
berada pada saat genting sebagaimana mereka menjulang Piala Malaysia musim
lalu.
Pertembungan antara dua pasukan
itu dalam liga tidak boleh dijadikan ukuran sebenar kerana pentas Piala
Malaysia berbeza.
Dalam liga musim ini, kelebihan
berpihak kepada Negeri Sembilan yang menang 3-2 di Seremban dan seri 1-1 di
Ipoh.
Mungkinkah Perak akan
tersungkur lagi di Seremban atau Negeri Sembilan bakal dimalukan di hadapan
penyokong sendiri malam ini?
Aksi di Kuala Terengganu pasti
sehebat di Seremban. Selangor terus mengharapkan sentuhan pemain mudanya untuk
mengembalikan kegemilangan Red Giants yang telah menjulang Piala Malaysia 28
kali sejak kali terakhir pada 1997.
Begitupun, Selangor dilihat
agak goyah berbanding Terengganu yang cemerlang di peringkat kumpulan.
Pertembungan antara juara liga,
Pulau Pinang dengan Kelantan di Batu Kawan tidak kurang menarik.
Begitupun, perlawanan dijangka
berat sebelah kerana skuad Harimau Kumbang lebih padat dengan pemain berwibawa
dan sentiasa dahagakan jaringan.
Tetapi Kelantan usah
diremehkan. Si Kijang pasti ada strategi terbaik untuk melemahkan Harimau
Kumbang, biarpun strategi ditabur di gelanggang lawan.
Apakah Tok Gajah mampu
mengekang terkaman Singa Utara di Kuantan kali ini?
Pahang musim ini bolehlah
dianggap pasukan low-profile tetapi skuad yang tidak menunjukkan taring pada
kempen awal biasanya mampu melonjak di peringkat genting.
Perlis harus setuju dengan
kenyataan ini dan harus berwaspada.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1016&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4blgB68aM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan