ARKIB : 15/10/2002
PIALA MALAYSIA, trofi yang
menjadi rebutan akan menyaksikan lapan pasukan memulakan persaingan dengan
masing-masing menyimpan impian untuk merebutnya.
Perak, Pulau Pinang, Selangor,
Kedah, Pahang, Sabah, Public Bank dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ)
akan berentap hari ini pada peringkat suku akhir setelah masing-masing melepasi
persaingan peringkat awal.
Perak telah merangkul satu trofi
- Piala Liga Perdana Satu, Pulau Pinang dengan kejayaan memenangi Piala FA
manakala Kedah dengan Piala Liga Perdana Dua.
Malam ini, pertemuan tumpuan
ialah di antara dua pemegang piala, Pulau Pinang dengan Perak.
Pertembungan ini menarik kerana
skuad Harimau Kumbang telah menghalang si Seladang daripada muncul juara
berganda apabila menewaskan mereka 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA.
Persaingan di peringkat suku
akhir ini juga menandakan bermulanya detik bersejarah kerana terdapat dua
pasukan kelab iaitu Public Bank dan MPPJ melayakkan diri - perkara yang tidak
pernah berlaku sebelum ini.
MPPJ terpaksa ke gelanggang lawan
untuk aksi pertamanya apabila bertemu Kedah di Stadium Darul Aman.
Public Bank pula akan ke Kota
Kinabalu untuk menentang Sabah, rakannya ketika bersaing dalam Perdana Dua
dahulu.
Perlawanan keempat juga tidak
kurang hebatnya apabila juara terbanyak trofi paling berprestij itu, Selangor
akan beraksi di gelanggang sendiri menentang Pahang.
Selepas 48 hari berehat sejak
aksi terakhir pusingan awal pada 27 Ogos lepas, setiap pasukan sepatutnya sudah
berada dalam keadaan paling bersedia dari segi kecergasan dan strategi untuk
menundukkan lawan masing-masing.
Beberapa pemain yang dipanggil
menyertai skuad kebangsaan ke Sukan Asia XIV di Busan sudah pasti tidak
menghadapi masalah kecergasan kecuali Kedah yang kurang bernasib baik kerana
Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengalami hamstring di Busan dan perlu berehat
panjang.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cNdSPcTN
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan