Sabtu, 11 Mac 2017

Saingan separuh akhir bermula


 

ARKIB : 03/10/2000
RUSDI Suparman menjadi harapan utama Selangor untuk memburu jaringan apabila berdepan dengan juara 1998, Perak pada separuh akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, malam ini.

EMPAT pasukan sudah menjanjikan persembahan terbaik namun hanya dua bakal dipilih untuk beraksi dalam saingan kemuncak Piala Malaysia, bermula perlawanan separuh akhir pertama di dua gelanggang malam ini.

Pastinya perhatian tertumpu kepada Gergasi Merah Selangor yang berdepan juara Piala Malaysia 1998 Perak di Stadium Shah Alam.

Walaupun beraksi di gelanggang sendiri dengan diperkuatkan barisan handalan yang terdiri daripada penjaga gol, Azmin Azram Aziz, B. Rajnikandh, Zami Mohd. Noor, Yusri Che Lah dan Rusdi Suparman, Selangor pasti diberi tentangan sengit Perak.

Kemenangan ke atas Pulau Pinang menerusi jaringan emas Mohd. Khalid Jamlus pada masa tambahan selepas kedudukan terikat 1-1 dalam peringkat suku akhir kedua menampakkan taring sebenar Perak.

Sebelum itu, dalam suku akhir pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Perak membuktikan kemampuannya mengikat skuad harimau kumbang 1-1.

Berdasarkan kedua-dua perlawanan suku akhir, Perak bukan sahaja berbekalkan pemain berkemahiran, malah mempunyai semangat juang cukup tinggi kerana berupaya memberi saingan selepas ketinggalan kepada lawan.

Dalam perlawanan di Stadium Bandaraya, di depan penyokong lawan, Perak bangkit mencari jaringan penyamaan menerusi ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar selepas Pulau Pinang mendahului.

Kegigihan pemain Perak sekali lagi ditunjukkan dalam suku akhir kedua apabila V. Saravanan menyamakan kedudukan selepas Samuel Raj terlebih dahulu membuka tirai jaringan untuk Pulau Pinang, sebelum perlawanan ditentukan menerusi saingan masa tambahan yang dimenangi skuad Seladang.

Begitulah kelebihan Perak? Apakah di gelanggang lawan kali ini, Perak akan mengulangi skrip yang sama iaitu mengekang Selangor sebelum memastikan kemenangan di stadium sendiri.

Selain itu, pertembungan Negeri Sembilan dengan skuad Bujang Senang di Stadium Sarawak akan menarik tumpuan berdasarkan persembahan hebat kedua-dua pasukan dalam peringkat kumpulan.

Negeri Sembilan, pasukan yang dicemuh penyokongnya sebelum ini membuktikan betapa kemampuan mencipta kemenangan rekod tanpa kalah dalam peringkat tersebut sehingga ke suku akhir menggerunkan lawan bakal ditemui.

Ternyata skuad yang dibentuk musim ini dengan diperkuatkan penyerang berpengalaman, Azman Adnan dan tonggak pertahanan kental, Khairul Anuar Baharom menghidupkan seluruh jentera Negeri Sembilan.

Kejayaan mengatasi juara Perdana Dua, Kelantan sebanyak dua kali menerusi kemenangan 4-1 dan 3-0 dalam peringkat suku akhir jelas membayangkan kesungguhan Negeri Sembilan untuk mara lebih jauh.

Bagaimanapun, Sarawak bukannya skuad belasahan malah tetap dihormati selepas kejayaan muncul sebagai naib juara Piala Malaysia pada tahun lalu.

Setelah terlepas gelaran juara Piala Malaysia akibat tewas kepada Brunei, skuad bimbingan jurulatih Jalil Rambli pasti tidak mahu kempunan lagi dengan berusaha merintis laluan ke perlawanan akhir.

Barisan berpengalaman seperti penjaga gol Mazlan Wahid, Nazri Yunos, Ramos Sari dan Bobby Pian sudah tentu menggunakan kemahiran mereka untuk menyekat kemaraan Negeri Sembilan.

Ternyata, pertarungan separuh akhir akan menghidangkan aksi lebih mendebarkan dengan saingan peringkat pertama malam ini bakal mencuri tumpuan kerana empat pasukan mencari kemenangan awal sebagai bekalan selesa sebelum memastikan kejayaan dalam peringkat seterusnya.

Oleh: ZAINUL AZHAR ASHARI

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b23RlDUS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan