ARKIB : 04/11/2001
Pemain Terengganu meraikan
kejayaan merangkul Piala Malaysia buat pertama kali dalam sejarah penyertaan
mereka sejurus tamat perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil,
semalam.
DUA gol dalam tempoh tiga minit
pada babak kedua menerusi Rosdi Talib dan Sapian Wahid memastikan Terengganu
menafikan hasrat penyandang juara, Perak untuk menyimpan Piala Malaysia buat
tahun kedua berturut-turut dengan kemenangan 2-1 pada perlawanan akhir di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam.
Kejayaan Terengganu sekali gus
menamatkan penantian 80 tahun mereka untuk menjulang trofi paling berprestij
itu sesudah mencuba tiga kali pada 1973, 1982 dan 1998.
Terengganu ketinggalan 0-1 pada
babak pertama menerusi rembatan kencang Mohd. Rafdi Rashid pada minit ke-17
tetapi Rosdi menyamakan kedudukan hasil sepakan penalti minit ke-56 dan Sapian
menjaringkan gol kemenangan, minit ke-59.
Beraksi di hadapan kira-kira
90,000 penonton, kedua-dua pasukan bermain agak gugup pada babak awal permainan
sebelum mendapat rentak selepas memasuki suku jam.
Perak yang memiliki lebih
pengalaman pada pentas akhir berbanding Terengganu, nyata gagal mengulangi
kejayaan mereka musim lalu ketika Terengganu jelas lebih konsisten sepanjang
kempen Liga Perdana dan Piala Malaysia, musim ini.
Aksi di padang semalam nyata
menggambarkan kekecewaan Perak biarpun Rafdi, penyerang berusia 23 tahun yang
beraksi untuk Kedah musim ini, tetapi dipinjam Perak untuk kempen Piala
Malaysia, menceriakan penyokong Seladang dengan gol pembukaannya.
Rafdi yang menerima hantaran
Chan Wing Hoong dari sebelah kiri sebelum mem-buat rembatan leret padu dari
jarak 30 meter melepasi celah kaki pertahanan Terengganu, Abdul Ghani Malek ke
penjuru kanan gawang.
Penjaga gol Penyu, Zubir
Ibrahim melayangkan badan dan sempat menepis percubaan itu, tetapi bola pantas
menerjah gawang untuk Perak mendahului 1-0.
Terengganu sebelum itu
berpeluang untuk menghasilkan gol menerusi pemain bawah 23 kebangsaan,
Hairuddin Omar dan Faziallah Mamat pada minit ketiga dan keenam, tetapi penjaga
gol Perak, Azlisham Ibrahim lebih tangkas mengawal gawangnya.
Perak bangkit daripada dua
kejutan itu dan menyusun serangan menerusi Indra Putra Mahayuddin dan sayap
kanan, Azrul Amri Burhan.
Perak seharusnya mampu menambah
gol kedua pada minit ke-30 tetapi Azrul bertindak sebelum diasak Rosdi.
Bagaimanapun, Terengganu
bangkit menjaringkan dua gol dalam tempoh tiga minit pada babak kedua untuk
mendahului 2-1.
Penyerang Wan Rohaimi Ismail
dijatuhkan dalam kotak penalti oleh K. Nantha Kumar pada minit ke-56 dan
pengadil perlawanan, Ahmad Khalidi Supian menunjukkan isyarat ke titik penalti
untuk Terengganu.
Rosdi tidak mensia-siakan
peluang menyamakan kedudukan dengan merembat kencang ke arah kanan gawang Perak
ketika Azlisham melompat ke kiri.
Perak bagaikan terpaku dengan
jaringan itu dan kesempatan tersebut digunakan Terengganu untuk terus mengasak
kubu Perak dan hasilnya, Sapian menggegarkan jaring Seladang buat kali kedua
dengan rembatan leret dalam kotak penalti.
PERAK: Azlishan Ibrahim, A.
Victor, Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar, Chan Wing Hoong, Azrul Amri Burhan
(Norizam Ali Hassan), Indraz Putra Mahayudin, Syamsul Saad (Faizal Zainal), K.
Nanthakumar, Mohd. Rafdi Rashid, Khalid Jamlus.
TERENGGANU: Zubir Ibrahim,
Subri Sulong, Abd. Ghani Malek, Mohd. Nafuzi Zain (Nor Fazly Alias), Sapian
Wahid (Alfian Aziz), Rosdi Talib, Wan Rohaimi Ismail, Zulharisam Awang, Marzuki
Yusof, Faziallah Mamat, Hairuddin Omar (Shahrulnizam Sahat).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bmyC5u2M
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan