ARKIB : 02/11/2001
JIKA Terengganu boleh mendabik
dada dengan kemantapan dan kelebihan pemainnya di semua posisi, mereka jangan
lupa satu perkara, Perak cukup berpengalaman beraksi dalam perlawanan akhir.
Ingatan itu disuarakan ketua
pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar yang menganggap kelebihan yang ada pada
Terengganu itu belum cukup untuk mereka menguasai tekanan perlawanan akhir.
Katanya, apa yang penting bukan
kekuatan semata-mata tetapi bagaimana kita mengawal perasaan dan tekanan pada
hari pertandingan untuk mempamerkan yang terbaik.
``Saya akui, Terengganu
mempunyai pemain berpengalaman, kerja kuat dan rajin. Malah mereka mempunyai
kekuatan seimbang di semua posisi.
``Tetapi perlu diingat,
perlawanan akhir bukan hanya menuntut itu saja, tetapi cara pemain
mengendalikan suasana dan itu merupakan kelebihan yang ada pada Perak.
``Berdasarkan itu, saya yakin
Perak bukan mudah untuk dijinakkan oleh Terengganu dan saya menjangkakan
kedua-dua pasukan adalah 50-50,'' ujarnya.
Ahmad Shahrul, 27, yang sudah
beberapa kali beraksi dalam perlawanan akhir berkata, mana pasukan yang dapat
menyesuaikan diri dengan keadaan dan tekanan perlawanan akhir lebih dulu,
mereka pastinya mempunyai peluang cerah untuk menang.
Malah katanya, dengan keadaan
pasukan Perak sedang berada dalam prestasi kemuncak, berdisiplin tinggi dan
komited, beliau percaya kekuatan Terengganu itu mampu diatasi.
Menurutnya, kelebihan
Terengganu terletak kepada prestasi konsisten mereka sepanjang musim, rajin dan
kelebihan bersaing di udara kerana pemainnya tinggi-tinggi belaka.
Sehubungan itu katanya,
mana-mana pasukan yang kurang melakukan kesilapan, mereka akan menang dan dalam
waktu yang sama bahagian tengah akan menyaksikan satu persaingan sengit untuk
dikuasai.
``Saya mengharapkan permainan
boleh ditamatkan dalam masa 90 minit tetapi jika berlanjutan ke masa tambahan
dan penentuan tendangan penalti, kita juga sudah bersedia untuk situasi itu,''
tegasnya.
Semalam, pemain Perak turut
menjalani latihan mengambil sepakan penalti serta bagaimana menguasai bola di
udara.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4bmrDcVhn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan