Ahad, 19 Mac 2017

Pasukan teratas belum selamat

ARKIB : 02/10/2001
Oleh: JOHARI SHAWAL
BELUM sampai masanya untuk semua pendahulu kumpulan bersenang-lenang kerana pasukan lain bakal muncul dengan taktik dan strategi terbaru apabila aksi bola sepak Piala Malaysia bersambung malam ini.

Pulau Pinang dan Terengganu mungkin sedang dibuai mimpi indah. Mereka berada dalam zon selamat untuk menempah tempat ke suku akhir selepas menang semua tiga perlawanan pusingan pertama peringkat kumpulan.

Tetapi itu tidak bermakna mereka tidak boleh langsung tercicir kerana kesilapan boleh berlaku dalam tiga perlawanan terakhir yang dianggap lebih mustahak. Tiga kemenangan awal nyata bukan jaminan mutlak.

Selaku pendahulu kumpulan D, Pulau Pinang boleh dianggap selesa kerana memiliki jurang lima mata dengan pasukan tempat kedua, Perlis.

Tetapi nantikanlah kebangkitan pasukan Singa Utara itu yang bakal mengaum gagah membaham lawan, biarpun ia sedikit lewat. Adakah JKR Kedah menjadi mangsanya malam ini?

Sabah pasti menyimpan dendam selepas maruah diragut Pulau Pinang minggu lalu. Tewas besar 5-0 harus berbalas malam ini apabila kedua-dua pasukan sekali lagi berentap di Likas.

Juara bertahan, Perak yang berada dalam kumpulan C bersama Terengganu, turut berdepan ranjau.

Terengganu unggul di atas tetapi Perak tercicir ke tangga ketiga di belakang pasukan kelab, TNB Kelantan, selepas hanya mencatat satu kemenangan.

Begitupun, skuad Seladang berpeluang untuk menyamai kutipan enam mata dengan TNB Kelantan di gelanggang lawan malam ini, apabila berdepan JKR Kelantan yang belum mencatat sebarang kemenangan.

Malah peluang itu ada jika Terengganu berjaya mengecewakan TNB Kelantan di Kuala Terengganu untuk menyekat kelab yang dianggap terkuat setakat ini.

Mungkin Perak mampu melakukannya selepas melepas geram membelasah JKR Kelantan 6-0 pada pusingan pertama untuk merakam kemenangan pertama selepas tewas dua kali berturut-turut.

Bekas juara, Selangor paling tidak selamat biarpun berada di tempat teratas kumpulan A. Tujuh mata nyata tidak kukuh kerana Negeri Sembilan dan Johor FC hanya menunggu masa untuk memintas.

Pahang dan Sarawak harus menebus maruah selepas tercicir di belakang NS Chempaka yang mencipta kejutan mengungguli kumpulan B. Kedua-dua pasukan membuat perhitungan di Kuantan malam ini.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4bl0mpNES

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan