ARKIB : 03/11/2001
HANYA pengalaman menjadi
sandaran utama penyandang juara bola sepak Piala Malaysia, Perak untuk
mengulangi kejayaan musim lalu apabila berentap dengan Terengganu pada
perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Walaupun Terengganu dianggap
pasukan paling konsisten musim ini, pengalaman Perak bermain pada perlawanan
akhir dan prestasi yang baik akhir-akhir ini mampu memberikan Seladang
kelebihan di Bukit Jalil.
Ketua pasukan Perak, Ahmad
Shahrul Azhar berkata, Perak kini berada pada tahap kecergasan terbaik walaupun
sebelum ini tidak konsisten dalam pertandingan Liga Perdana.
``Terengganu mempunyai pemain
yang handal di barisan pertahanan, tengah dan penyerang dan mereka begitu
cergas sekali. Tetapi di peringkat akhir kecergasan semata-mata tidak
cukup...kita mesti kuat dari segi mental untuk bermain di hadapan 100,000
penonton,'' kata pemain berusia 27 tahun itu.
Perak bakal beraksi di pentas
akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat tahun dan kali kelapan sejak Piala
Malaysia dipertandingkan pada 1967 selepas ditukar kepada Piala HMS Malaya.
Ahmad Shahrul berkata, tidak
banyak yang membezakan kedua-dua pasukan tetapi skuad Pantai Timur itu dilihat
mempunyai kelebihan di barisan tengah dengan diketuai pemain yang begitu rajin,
ketua pasukan kebangsaan bawah 23, Hairuddin Omar dan dibantu Subri Sulong dan
Faziallah Mamat.
``Kami perlu mengawal pemain
tengah mereka. Mereka rajin berlari ke serata padang tetapi saya rasa dari segi
teknikalnya kami lebih baik,'' kata Ahmad Shahrul yang hanya menikmati kejayaan
pertama menjulang Piala Malaysia tahun lepas walaupun telah bermain sejak 1994.
Di bahagian tengah Perak,
pemain kebangsaan bawah 23, Indra Putra Mahayuddin dan pemain berpengaruh Azrul
Amri Burhan bakal membantu Ahmad Shahrul.
Ditanya kemungkinan perlawanan
akan berlanjutan ke masa tambahan atau tendangan penalti, Ahmad Shahrul
berkata, ia mungkin berlaku.
``Tetapi adalah lebih dramatik
jika pemenang ditentukan dalam masa 90 minit,'' tambahnya.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4bmw5ndAQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan