ARKIB : 15/10/2000
SEBAIK sahaja wisel pertama
ditiup oleh pengadil perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam
ini, maka bermulalah juga pertembungan antara dua pemain terbaik yang lahir
dari lubuk yang sama - Kuala Lumpur.
Azman Adnan dan Azrul Amri
Burhan tidak kekal lama di ibu kota, membawa haluan masing-masing, mewakili
pasukan yang berlawanan, namun menimba pengetahuan dan menggilap bakat di
Lembah Klang di bawah tunjuk ajar Chow Kwai Lam.
Azman sudah berpindah-randah,
meninggalkan Kuala Lumpur untuk menyertai Selangor sebelum ke Pulau Pinang dan
kini berkhidmat untuk pasukan negeri kelahirannya, Negeri Sembilan.
Azrul pula meninggalkan Lembah
Klang untuk menyertai Perak.
Kedua-duanya juga mempunyai
sejarah hitam dalam diri masing-masing, tetapi di waktu ini bukan masanya untuk
mengungkit kesilapan masa lalu. Apatah lagi kedua-dua pemain itu sudah berubah
dan tahun ini menjadi antara pemain paling diperkatakan.
Azman menerima pengiktirafan
rasmi sebagai antara penyerang terbaik dimiliki oleh Malaysia ketika ini
apabila dipanggil semula menyertai latihan skuad kebangsaan berkat permainan
konsistennya, selepas hampir dua tahun tercicir.
Sebagai antara penyerang
terbaik dalam kempen Perdana Satu dengan 10 gol tahun ini, Azman terus
dihormati kawan dan digeruni lawan dengan kemampuannya melepasi kawalan benteng
lawan dengan gerakan lincah, kawalan bola kemas dan yang paling dikagumi ialah
kemampuannya membuat sepakan sambil membuat 'turning.'
Azrul pula walaupun tidak
bertindak sebagai penyerang, namun semakin matang di bahagian tengah. Buktinya
ialah bagaimana dia merencana gerakan untuk memporak-perandakan Selangor pada
perlawanan separuh akhir kedua di Ipoh minggu lepas.
Sentuhan penyudah bekas pemain
kebangsaan itu apabila mendapat peluang di depan gawang juga tidak kurang
hebatnya.
Berganding dengan seorang lagi
pemain muda, Ahmad Shahrul Azhar, bahagian tengah Perak kelihatan sudah pun
mengatasi Negeri Sembilan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1015&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4b5PTes3a
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan