ARKIB : 12/08/2002
IKUT perasaan, binasa pasukan.
Pasti itulah yang diluahkan oleh rata-rata peminat bola sepak tempatan
khususnya penyokong Kelantan selepas melihat aksi skuad itu ketika melayan
Selangor dalam perlawanan Kumpulan C bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sultan
Mohamad IV, Kota Bharu, kelmarin.
Kelantan adalah satu pasukan yang
mampu melangkah lebih jauh dalam kempen berprestij ini, sekurang-kurangnya
mengatasi pencapaian mara ke separuh akhir musim lalu.
Tetapi kerana beberapa pemain
terlalu mengikut perasaan, Kelantan yang memiliki peluang memadamkan kehebatan
Selangor untuk meletakkan pasukan di tempat lebih baik, akhirnya menerima
cemuhan.
Kesudahannya, Kelantan tewas
besar 4-1 di hadapan penyokong sendiri yang amat dahagakan kemenangan, bukannya
menyaksikan aksi-aksi kasar yang akhirnya memakan diri.
Tiga kad merah dilayangkan dalam
perlawanan itu, termasuk kepada seorang jurulatih. Dua daripadanya kepada
pemain Kelantan, Arman Zairi dan Zami Mohd. Noor.
Pemain Selangor Tengku Hazman
Raja Hassan dan jurulatihnya, Ken Worden turut diperintah meninggalkan padang.
Apabila bermain sembilan orang,
segala perancangan dan sistem permainan Kelantan jadi bercelaru sehingga
melepaskan empat gol.
Di sini, perlakuan kasar dan
kurang profesional segelintir pemain Kelantan menjadikan rakan sepasukan
menanggung kepayahan.
Sebahagian besar rakan sepasukan,
penonton dan penyokong sendiri, menanam impian begitu tinggi untuk menyaksikan
Kelantan mara ke peringkat lebih tinggi dalam kempen ini, sekurang-kurangnya
mengulangi kejayaan ke separuh akhir seperti musim lalu.
Tetapi ia musnah kerana mengikut
kata hati dan perasaan.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak
mengubah kedudukan Kelantan di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata tetapi
menyempitkan laluan ke suku akhir.
Selangor yang bermain penuh sabar
dan lebih bersikap profesional, di tangga teratas berkongsi tujuh mata dengan
Public Bank Selangor yang menang 2-1 ke atas Perlis.
Begitupun, dunia belum berakhir
buat Kelantan. Masih ada baki tiga perlawanan dan jika pemain lekas sedar dan
mengubah perangai buruk mereka, Kelantan boleh mengubah jalan cerita pahit itu.
Sementara itu, Melaka dan MPPJ
Selangor mengubah jangkaan awal dalam Kumpulan B, selepas masing-masing berjaya
mengekang seketika kemaraan juara bertahan, Terengganu dan juara Perdana Satu
musim lalu, Pulau Pinang.
Melaka mengutip lima mata untuk
gagah di tangga teratas setelah tiga perlawanan selepas berjaya menambat
Harimau Kumbang 1-1 di Stadium Hang Tuah.
MPPJ Selangor pula di tempat
kedua selepas menghadiahkan hanya satu mata kepada Terengganu selepas aksi di
Kelana Jaya berakhir tanpa jaringan.
Pahang pula mengungguli kumpulan
A dengan tujuh mata biarpun seri 1-1 dengan Sabah dan baki tiga perlawanan harus
diambil peluang sebaiknya oleh Tok Gajah untuk melenyapkan memori hitam kempen
musim lalu.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cFdtufFY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan