ARKIB : 27/10/2002
JUARA 28 kali Piala Malaysia,
Selangor mara ke perlawanan akhir setelah seri 1-1 dengan Kedah dalam
perlawanan separuh akhir kedua penuh mendebarkan di Stadium Darulaman, Alor
Setar malam tadi, lapor Sopha Sulaiman.
Keputusan itu membolehkan
Selangor mengatasi Kedah dengan agregat 4-2 setelah menang perlawanan pertama
3-1 di Shah Alam Selasa lalu.
Red Giants akan bertemu Sabah
pada perlwanan akhir Sabtu depan setelah pasukan di negeri bawah bayu itu
menyingkirkan Perak dengan agregat 4-3 di Ipoh.
Ini merupakan kali pertama
Selangor mara ke perlawanan akhir sejak kali terakhir melakukannya pada 1997 di
mana mereka menundukkan Pahang 1-0 menerusi gol emas.
Harapan Kedah yang muncul juara
Perdana Dua musim ini untuk menyamakan kedudukan dan mengheret Selangor ke
perlawanan tambahan berkecai apabila pemain import dari Senegal, Matar Diop
gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70.
Sebelum dihadiahkan sepakan
penalti itu, tuan rumah mendahului Selangor 1-0 menerusi Liew Kit Kong pada
minit ke-40.
Stadium Darulaman yang kali
pertama padat dengan kira-kira 35,000 penonton sejak sembilan tahun lalu,
bergegar dengan sorakan dan letupan mercun apabila Kit Kong menanduk masuk bola
sepakan sudut Mohd. Shawal Johadi.
Namun, Selangor menghampakan tuan
rumah apabila penyerangnya, Azman Adnan berjaya menyamakan kedudukan pada minit
ke-72.
Dua minit sebelum itu, penjaga
gol Selangor, Azmin Azram Aziz menepis bola sepakan kaki kiri yang diambil oleh
Diop.
Sepakan penalti itu diperoleh
setelah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dijatuhkan oleh pertahanan Selangor, B.
Rajnikandh di dalam kotak penalti.
Selangor menyamakan kedudukan 1-1
setelah bola rembatan Shukur Adan ditampan oleh penjaga gol tuan rumah Mazlan
Wahid.
Azman yang tidak dikawal dengan
mudah merembat masuk bola yang ditepis oleh Mazlan pada minit ke-72.
Kedah yang ingin mencari tiga gol
untuk mara ke perlawanan akhir setelah ketinggalan 1-3 pada perlawanan separuh
akhir pertama Selasa lalu menurunkan kesebelasan pemain utamanya.
Anak-anak buah jurulatih Jorgen
E. Larsen itu memulakan serangan ke kubu Selangor sebaik sahaja permainan babak
pertama dimulakan.
Pada minit ke-31, ayam tambatan
tuan rumah, Akmal Rizal berjaya melepasi pertahanan Selangor tetapi sebelum dia
melepaskan rembatan, Azmin meluru keluar untuk merampas bola.
Akmal yang dilihat terjatuh
memohon simpati untuk sepakan penalti, namun pengadil Norazman Nordin
meneruskan permainan.
Bagaimanapun jaringan penting itu
menyemarakkan semangat pemain-pemain tuan rumah yang terus membuat asakan
bertubi-tubi hingga permainan separuh pertama tamat.
Pada babak kedua, Kedah terus berusaha
mencari gol setelah gagal memanfaat tendangan penalti pada akhir 20 minit
permainan hendak ditamatkan tetapi sentiasa terhalang oleh barisan pertahanan
Selangor yang kental.
KEDAH - Mazlan Abd. Wahid, Victor
Andrag, Manzoor Abdul Wahid, Emmanuel Kofi Amphiah, Liew Kit Kong (Zainuddin
Mohd. Ariffin), Irwan Fadzly Idrus, Matar Diop, Mohd. Shawal Johadi, Akmal
Rizal Rakhli, Mohd. Rafdi Rashid, M. Gopalan.
SELANGOR - Azmin Azram Abd. Aziz,
Ivica Kulesevic, Mohd. Nizam Jamil, B. Rajinikandh, Yusri Che Lah, Muhd Shukor
Adan, S. Sivaram, Mohd Fareed Shah Hassan (Nizaruddin Yusof), Mohd Aiman Wong,
Mohd. Amri Yahyah, Azman Adnan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cOEERUSX
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan