ARKIB : 12/10/2000
TONGGAK pertahanan Negeri
Sembilan, Khairul Anuar Baharom akan memastikan benteng pertahanan skuad Si
Rusa akan menjadi ranjau menyekat setiap serangan Perak dalam perlawanan akhir
Piala Malaysia di Stadium Shah Alam, Ahad ini.
Berbekalkan pengalaman 1998
membantu Perak memenangi Piala Malaysia, Khairul yakin barisan pertahanan skuad
Rusa merupakan antara yang paling kebal di antara pasukan-pasukan yang
bertanding dalam kempen Piala Malaysia musim ini.
Katanya, berdasarkan kepada
jumlah gol yang dapat menembusi gawang skuad Rusa, ia adalah pencapaian
cemerlang barisan pertahanan.
Bagaimanapun, dia tidak berani
mengatakan sama ada barisan pertahanan Rusa menganggap barisan serangan Perak
mudah dipatahkan.
''Semuanya bergantung kepada
semangat dan komitmen barisan pertahanan, adakah kami berupaya hanya dapat
dilihat pada perlawanan akhir nanti,'' katanya ketika ditemui selepas selesai
menjalani latihan di Seremban, semalam.
Tambahnya, keupayaan
mengalahkan Perak dalam persaingan awal Piala Malaysia tidak boleh dijadikan
sandaran bahawa Rusa dengan mudah dapat membenamkan Seladang.
Ujar Khairul, dia akan memberi
perangsang kepada rakan- rakan terutama yang pertama kali merasai bahang
perlawanan akhir Piala Malaysia.
Dia memberitahu, apa yang diutamakan
sekarang ialah menumpukan kepada permainan dan cuba mengurangkan rasa gentar
atau takut semasa perlawanan akhir nanti.
Tetapi Khairul memberi jaminan,
segala akan dilaksanakan bagi memastikan skuad Rusa tidak putih mata dan
menyaksikan nama Negeri Sembilan terpahat dalam lakaran sejarah sebagai pasukan
yang memenangi Piala Malaysia setelah menanti selama 52 tahun.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1012&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4b5HdGmJM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan