ARKIB : 02/11/2002
DUA jurulatih yang menjadi tulang
belakang pasukan masing-masing, Ken Worden (kiri) dan Justin Ganai sempat
bermesra semalam menjelang pertemuan Selangor dan Sabah dalam perlawanan akhir
bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Oleh Johari Shawal
BABAK memburu penghormatan
tertinggi pada pentas bola sepak Piala Malaysia musim ini bakal berakhir dengan
dua pasukan, Selangor dan Sabah mengerah segala kudrat untuk menentukan siapa
yang terbaik pada aksi akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini.
Juara terbanyak Piala Malaysia,
Selangor yang menjulang trofi kebanggaan ini sebanyak 28 kali, bertemu pasukan
yang tidak pernah memahat nama selaku juara, Sabah dan perlawanan akhir ini
dianggap barisan berpengalaman menentang barisan muda.
Menariknya, dua pasukan ini
pernah bertemu dalam final Piala Malaysia pada 1996 dan pertarungan antara dua
pasukan itu malam ini ibarat ulangan perlawanan berkenaan.
Atas pengalaman yang dimiliki,
skuad Gergasi Merah merangkul mahkota Piala Malaysia buat kali ke-27, ketika di
bawah kendalian jurulatih dari Australia, Ken Worden.
Sabah yang ketika itu membuat
penampilan sulung di pentas akhir Piala Malaysia, terpaksa menunggu lagi.
Tetapi kali ini, biarpun dilabel
sebagai pasukan bukan pilihan, Sabah tidak mahu memori pahit 1996 berulang.
``Alang-alang menyeluk pekasam,
biar sampai ke pangkal lengan,'' kata ketua pasukan Sabah, Shahril Arsat.
Sabah sememangnya tidak langsung
menjadi pilihan pada peringkat separuh akhir apabila terpaksa melepasi naib
juara musim lalu, Perak.
Bagaimanapun, barisan yang
dikendali jurulatih, Justin Ganai tidak gentar dengan reputasi yang dimiliki
Perak dan berjaya mengatasi ramalan.
Kini, halangan terakhir mereka
cuma Selangor yang ketika ini memiliki reputasi lebih tinggi daripada Perak.
Menariknya, Selangor masih
dikemudi oleh Worden, yang melatih Sabah sehingga pertengahan musim ini sebelum
jurulatih dari Australia itu dipecat oleh pengurusan skuad Badak.
Justeru, pertemuan Sabah dengan
Selangor malam ini sebenarnya dikuasai oleh seorang jurulatih dan bolehlah
dikatakan, Piala Malaysia musim ini sebenarnya telah dijulang oleh Worden.
Penampilan kali kedua Sabah di
pentas ini sememangnya baru tetapi barisan pemainnya berpengalaman walaupun
tidak di pentas Piala Malaysia.
Sabah memiliki Shahril yang telah
menjulang Piala Malaysia tiga kali ketika bersama Selangor pada 1995-1997,
penjaga gol berpengalaman, Khairul Azman Mohamad, bekas penyerang kebangsaan,
Suharmin Yusuf dan penyerang semakin berbisa, Zainizam Marjan.
Namun, jentera Selangor nampak
lebih berbisa dengan gandingan Azman Adnan dan pemain Liberia, Mass Sarr Jr.
selain barisan pertahanan berpengalaman yang dikemudi B. Rajinikandh dan
penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Aziz.
Apa pun atas kertas, Selangor menjadi
pilihan tetapi Sabah khabarnya membawa `hadiah istimewa' untuk
penyokong-penyokong Merah Kuning yang pasti menjadikan pertarungan malam ini
tidak sabar dinantikan oleh kedua-dua pasukan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4cOZy98wf
© Utusan Melayu (M) Bhd