ARKIB : 27/07/2005
Oleh AMRAN MULUP
SHAH ALAM - ``Selangor patut
membawa pulang Piala Malaysia musim ini,'' demikian tegas Presiden Persatuan
Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo.
Beliau menyifatkan barisan
Selangor yang sedia ada selepas menjulang kejuaraan Piala Liga sewajarnya
merampas gelaran Piala Malaysia daripada genggaman Perlis.
``Bagi saya, Piala Malaysia
amat penting kerana ia adalah piala yang paling prestij.
``Saya mahu barisan pemain
Selangor membawa pulang Piala Malaysia,'' ujar Mohamad Khir selepas
mempengerusikan mesyuarat Majlis FAS di kediamannya, kelmarin.
Bagi Presiden FAS itu, kejayaan
Selangor menewaskan Negeri Sembilan 4-2 membuktikan betapa skuad Merah Kuning
memiliki segala kelebihan untuk menjulang Piala Malaysia.
Buat Mohamad Khir, beliau tidak
sangsi dengan prestasi barisan Merah Kuning yang dikendalikan oleh jurulatih
Dollah Salleh yang mempamerkan aksi menarik ketika berdepan dengan Negeri
Sembilan.
``Saya ucapkan tahniah kepada
Dollah (Salleh) dan saya puas hati dengan kejayaan menjulang Piala Liga tetapi
bagi saya yang penting adalah Piala Malaysia,'' ujarnya.
Selain itu juga, Mohamad Khir
turut berkeyakinan pemain Selangor mampu membawa pulang Piala FA selepas layak
ke separuh akhir.
Di samping itu beliau
menegaskan tidak ada sebarang ganjaran dijanjikan kepada pemain atas kejayaan
menewaskan Negeri Sembilan.
Sebaliknya ujar Mohamad Khir,
hadiah wang tunai RM200,000 akan diagihkan kepada pemain dalam tempoh terdekat
ini.
Bagaimanapun jumlah tersebut
tidak dinyatakan.
``Jika Selangor membawa Piala
Malaysia, Ahli Majlis FAS sudah bersetuju ganjaran yang berpatutan wajar
diberikan kepada pemain.
``Apa bentuk ganjaran itu saya
belum tetapkan hanya sesudah Selangor menjulang Piala Malaysia baru akan diberi
tahu,'' katanya.
Atas prestasi yang
memberangsangkan itu kata Mohamad Khir, Ahli Majlis FAS telah bersetuju untuk
mengekalkan Datuk Satim Diman sebagai pengurus pasukan Merah Kuning bagi musim
2006.
Turut dikekalkan ialah tiga
pemain import musim ini, Bambang Pamungkas, Elie Aiboy kedua-dua pemain dari
Indonesia dan penyerang dari Argentina, Brian Fuentes.
Malah sebahagian besar pemain
musim ini juga akan dikekalkan bagi menghadapi kempen musim depan.
Sementara itu, beliau turut
melahirkan rasa gembira dengan peningkatan kutipan tiket naik sebanyak 70
peratus selepas tamat saingan Liga Perdana dan suku akhir Piala FA.
Katanya, setakat ini hasil
kutipan tiket Selangor sehingga kini ialah RM1.4 juta.
``Saya menjangkakan kutipan
tiket Selangor hingga perlawanan akhir Piala Malaysia dijangka mencapai RM3
juta,'' ujarnya.
Jumlah tersebut tegas beliau
membuktikan penyokong Merah Kuning sudah semakin yakin dan percaya dengan
keupayaan skuad bimbingan Dollah Salleh.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0727&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ikvxxbkt
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan