ARKIB : 14/09/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Piala Malaysia
yang menjadi kejuaraan berprestij bola sepak tempatan sudah semakin sampai ke
penghujung.
Pertembungan empat pasukan
pilihan - Perlis bertemu Perak di Ipoh sementara Selangor menentang Terengganu
di Stadium Shah Alam menjadi perhitungan malam ini.
Saingan separuh akhir pertama
jelas akan menjadi titik tolak buat keempat-empat pasukan untuk menentukan hala
tuju memburu tempat ke perlawanan akhir pada 1 Oktober ini.
Buruan gol sebanyak mungkin
menjadi sasaran Perak dan Selangor yang mempunyai kelebihan bermain di
gelanggang sendiri ketika Perlis dan Terengganu cuba merancang strategi
menyekat jentera serangan lawan.
Sukar diramal peluang
keempat-empat pasukan dengan aksi malam ini disifatkan paling getir, panas dan
mencuri tumpuan dengan reputasi tersendiri.
Penyandang juara, Perlis dan
bekas juara 2001, Terengganu dianggap paling selesa dengan tempoh rehat yang
panjang selepas mengharungi saingan suku akhir.
Tetapi tidak dengan Selangor
dan Perak tiga hari selepas memastikan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA,
mereka turun untuk berdepan lawan di separuh akhir pertama Piala Malaysia pula.
Yang jelas, faktor keletihan
kini membelenggu kedua-dua pasukan itu tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai
penghalang.
Reputasi Perlis kini berada
pada tahap memuncak selepas mengetepikan Pahang dan kini giliran Perak pula
menjadi penghalang.
Kehebatan Perlis dengan
rangkaian jentera serangan diterajui oleh Philimon Chepita, Zachariah
Simukonda, Joao Bandoch dan Yusri Che Lah bakal memberikan masalah kepada
benteng Perak.
Namun keupayaan serangan skuad
Seladang tidak dinafikan dengan rangkaian permata hitam membariskan Frank
Seator, Keita Mandjou dan Abdoulaye Traore tidak kurang hebatnya.
Selain itu rekod bersih Perak
bermain di gelanggang sendiri pada saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan
tidak tewas menjadi pemangkin untuk menyekat Perlis daripada mempunyai
kelebihan jaringan gol.
Pertemuan Selangor-Terengganu
turut disifatkan turut mencuri tumpuan.
Keupayaan Terengganu
menyingkirkan Kedah di suku akhir selain memadamkan kelebihan dua jaringan
membuktikan skuad Penyu mempunyai kelebihan tersendiri.
Walaupun tidak banyak
diperkatakan mengenai Terengganu namun pasukan kerdil dari Pantai Timur itu
mampu menyekat impian Selangor mara ke perlawanan akhir pada 1 Oktober ini.
Selangor pula masih segar
dengan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA pada 24 September ini, lega dengan
kehadiran semula ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan dan penjaga gol, Jamsari
Sabian.
Kehadiran kedua-dua pemain
tersebut bakal memantapkan lagi kekuatan sebenar Selangor selain mengharapkan
sentuhan jaringan Bambang Pamungkas dan Muhammad Khalid Jamlus akan berterusan
memainkan peranan untuk membenam Terengganu.
Manakala Terengganu
mengharapkan pengalaman empat pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir
Piala Malaysia pada 2001 menjadi bekalan menyaingi Selangor.
Kelibat Sapian Wahid,
Zulharisam Awang, penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustaffa dan Zuber Ibrahim
sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat pemain lain.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j1YfKhMn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan