Rabu, 31 Mei 2017

Perlis mudah, Selangor payah - Undian Piala Malaysia 2005



ARKIB : 16/07/2005

Oleh: AMRAN MULUP

SHAH ALAM - Juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis mengharungi laluan paling mudah untuk mara ke suku akhir Piala Malaysia apabila diundi dalam Kumpulan A manakala Selangor berada dalam kumpulan maut, Kumpulan D.

Atas kertas, Perlis yang masih segar dengan gelaran selaku juara Piala Liga Super musim 2005 dijangka tidak menghadapi masalah berdepan dengan PKNS, Terengganu dan Sabah yang diletakkan dalam kumpulan yang sama.

Jika mara ke suku akhir, Perlis bakal menerima ujian paling getir untuk mengekalkan gelaran dan dijadualkan bertemu sama ada Pahang atau Kedah dalam Kumpulan C - dua pasukan yang disifatkan berpeluang mara ke suku akhir.

Ujian awal Perlis apabila memulakan kempen pertama Piala Malaysia bertemu Sabah di Stadium Likas pada 6 Ogos ini.

Ketika Perlis mampu mengukir senyum memulakan saingan pada 6 Ogos ini, Selangor yang penuh dengan tradisi sejarah silam menjulang Piala Malaysia sebanyak 29 kali bakal berdepan tugas paling getir.

Dalam undian yang dijalankan disaksikan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Selangor diletakan sekumpulan dengan juara Piala FA musim lalu, Perak, MK Land dan Public Bank.

Selain Perak, Selangor turut merasa getir berdepan dua wakil Lembah Klang, MK Land dan Public Bank.

Begitupun jika Selangor mara ke suku akhir mereka dijangka melalui laluan mudah untuk ke separuh akhir dan dijadualkan bertemu lawan daripada Kumpulan B sama ada Negeri Sembilan atau Pulau Pinang yang dikatakan berpeluang muncul juara dan naib juara kumpulan.

Pertembungan Selangor dan Perak sememangnya diramal sengit menyaksikan pertembungan dua jentera serangan paling ampuh Bambang Pamungkas dan Frank Seator yang sukar untuk meramalkan kemenangan berpihak kepada siapa.

Kelibat MK Land yang membuat kejutan apabila menewaskan Selangor 3-2 di Stadium Shah Alam pada saingan kedua Liga Perdana boleh menjadi penghalang kemaraan Merah Kuning.

Bekas juara Liga Super musim lalu, Pahang turut merintis laluan mudah untuk ke suku akhir setelah diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Kedah, juara Piala Malaysia 2003, MPPJ dan Johor FC.

Atas kertas Kedah yang menduduki tempat kedua Liga Perdana Kumpulan A dijangka tidak berdepan tugas getir untuk mengikut jejak langkah Pahang mara ke suku akhir.

Kelibat dua pasukan berstatus kelab iaitu MPPJ dan Johor FC berdasarkan aksi mereka di Liga Super dan Liga Perdana merumuskan betapa mereka sukar untuk membenam Pahang atau Kedah.

Manakala dalam Kumpulan C membariskan Telekom, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dilihat mempunyai peluang yang sama.

Sukar untuk menentukan pasukan yang mana lebih gah jika prestasi sewaktu Liga Super dan Liga Perdana diambil kira.

Pada majlis yang sama juga, penyerang Perlis, Zachariah Simukonda dinobatkan selaku pemenang `Kasut Emas' Liga Super dengan keupayaan pemain itu menjaringkan 18 gol.

Manakala MK Land, Marlon Alex James pula selaku pemenang `kasut emas' Liga Perdana apabila menjaringkan 23 gol.

Bagaimanapun, saingan Piala Malaysia berbeza daripada Liga Super dan Liga Perdana, malah dianggap lebih memberi tekanan kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Ini kerana pasukan-pasukan yang gagal menyinar dalam Liga Super atau Liga Perdana pasti memberikan tumpuan yang lebih kepada Piala Malaysia untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sebuah piala bagi musim 2005.

Setelah gelaran Liga Super diraih Perlis dan saingan Piala FA menyaksikan hanya pasukan tertentu sahaja layak ke perlawanan seterusnya, kumpulan yang gagal mengharungi cabaran sudah pasti membuat persiapan rapi untuk membawa cabaran lebih bermakna dalam kempen Piala Malaysia.

Sebagai contoh, Pahang dan Kedah yang gagal menempa sebarang piala, sudah tentu mahu menjadikan Piala Malaysia idaman mereka bagi menebus kekecewaan, khususnya skuad Kenari yang tewas dalam perlawanan akhir piala berprestij itu bagi musim 2004.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0716&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iiorssOP
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan