Khamis, 1 Jun 2017

Saingan Piala Malaysia - Perlis, Pahang, Selangor jadi tumpuan



ARKIB : 06/08/2005

Oleh: AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Selepas mengharungi beberapa perlawanan persahabatan buat menguji keupayaan dan kemantapan, saingan Piala Malaysia yang bermula semalam membabitkan tujuh perlawanan bakal menentukan arah haluan masing-masing dalam memburu gelaran paling berprestij.

Penyandang juara, Perlis yang diterajui penyerang Zachariah Simukonda, Philimon Chipeta, Mohd. Ivan Yusof menjadi pilihan daripada Kumpulan A untuk ke suku akhir.

Selain Perlis, reputasi Terengganu menduduki tangga kedua Liga Perdana Kumpulan B meletakkan negeri itu turut menjadi pilihan mengiringi langkah Perlis.

Perlis yang bertandang ke Stadium Likas malam ini akan mengukur kemampuan sebenar apabila berdepan dengan Sabah.

Bagi Kumpulan B, reputasi selaku naib juara Liga Perdana musim 2005 meletakkan Negeri Sembilan dan Pulau Pinang selaku pilihan mengisi dua tempat.

Jurulatih, Norizan Bakar yang melihat jatuh bangun Pulau Pinang sepanjang saingan Liga Super, bertindak menamatkan kontrak pemain tengah Jepun, Ito Dan.

Tindakan pantas mengambil empat pemain baru termasuk meminjam tiga pemain tempatan antaranya penjaga gol Sarawak, Kamaruzzaman Hassan dan penyerang NTFA, Rosli Azizan membuktikan keinginan Pulau Pinang menebus kekecewaan lalu.

Kumpulan C pula menyaksikan Pahang yang muncul sebagai naib juara di Kejohanan Piala Antara Kelab AFF baru-baru ini, menyakinkan kembali pasukan itu mengisi salah satu tempat ke suku akhir.

Pahang yang kini berada di landasan baik untuk menamatkan belengu kerana sering muncul naib juara sepanjang musim ini.

Kembalinya penyerang Bernard Tchoutang daripada kecederaan mengembalikan keyakinan Pahang untuk ke suku akhir.

Finalis 2004, Kedah turut menjadi pilihan selain Pahang malah dijangka tidak berdepan dengan masalah besar buat menyekat Johor FC dan MPPJ.

Kumpulan D dianggap saingan paling getir dengan reputasi tiga pasukan yang berpeluang untuk mengisi dua tempat ke suku akhir.

Selangor dilihat mempunyai keistimewaan tersendiri untuk menyaingi pasukan handalan Liga Super dan hadir dengan status juara Liga Perdana.

Perak turut dipilih antara pasukan yang menjadi tumpuan dengan peningkatan mendadak pada penghujung musim Liga Super dengan kehebatan sentuhan Frank Seator dan Keita Mandjou.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4inczpJdi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan