Khamis, 1 Jun 2017

Pasukan pilihan menyerlah



ARKIB : 07/08/2005
KUALA LUMPUR - Pasukan pilihan, Selangor dan Pahang membuka kempen bola sepak Piala Malaysia dengan bergaya apabila menang besar ke atas lawan masing-masing, semalam.

Selangor, juara terbanyak Piala Malaysia, garang menumbangkan MK Land 4-1 dalam aksi Kumpulan D di Stadium Shah Alam.

Pahang turut menang besar, menundukkan Johor FC 6-1 dalam perlawanan Kumpulan C di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Selangor membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi sepakan percuma Bambang Pamungkas di luar kotak penalti yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol, Shankar Suhapun.

Pada minit ke-23, Stadium Shah Alam bergegar lagi dengan pekik sorak penyokong Merah Kuning apabila Muhammad Khalid Jamlus mudah menanduk masuk hantaran Brian Fuentes.

MK Land terus tersentak dengan jaringan ketiga tuan rumah menerusi tandukan kencang penyerangnya, Fuentes pada minit ke-37.

Seminit sebelum rehat Fuentes sekali lagi bertindak cemerlang apabila mudah menolak masuk gol keempat manakala gol tunggal pelawat dijaringkan oleh G. Athan Raj pada minit ke-85.

Di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Azizul Kamaluddin dan Bernard Tchoutang masing-masing menjaringkan dua gol ketika Pahang membelasah Johor FC 6-1.

Hairuddin Omar dan Indra Putra Mahayuddin turut menyumbang satu gol untuk Pahang.

Gol tunggal Johor FC dijaringkan oleh Azizan Baba minit ke-39.

Di Stadium Perak di Ipoh, skuad Seladang yang bermain dalam Kumpulan A mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Public Bank.

Pemain import Perak dari Liberia, Frank Seator menjaringkan gol tunggal perlawanan itu pada minit ke-18.

Seator merembat kencang menewaskan penjaga gol Public Bank, G. Gee-vanathan selepas berjaya melepasi kawalan Zami Mohd. Nor.

Satu lagi perlawanan Kumpulan C di Stadium Petaling Jaya menyaksikan Kedah menundukkan MPPJ 3-2.

Pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan gol kemenangan Kedah pada minit terakhir perlawanan.

Kedah sebelum itu mendahului 2-0 menerusi dua jaringan Marcos Magno minit ke-25 dan 55.

Bagaimanapun, MPPJ bangkit pada babak kedua dan berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Fabricio Renee pada minit ke-60 dan sepakan penalti yang diperoleh pada minit ke-65 yang disudahkan oleh Anuar Abu Bakar.

Dalam pada itu penyandang juara, Perlis yang bertandang ke Stadium Likas berjaya menghampakan pasukan tuan rumah dengan kemenangan 2-1.

Begitupun, Sabah membuka jaringan menerusi Julio Cesar minit ke-60 yang menceriakan penyokong skuad Badak.

Namun kegembiraan Sabah tidak kekal lama apabila Nazaruddin Md. Zin menyamakan kedudukan untuk Perlis tujuh minit kemudian.

Gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh Yusri Che Lah lima minit sebelum perlawanan tamat.

Di Stadium Bandaraya, pasukan tuan rumah, Pulau Pinang kecundang 1-0 di gelanggang sendiri kepada Telekom.

Bekas pemain kebangsaan, Rusdi Suparman memusnahkan harapan Pulau Pinang untuk bermula baik dalam kempen ini apabila menjaringkan gol kemenangan Telekom enam minit sebelum tamat perlawanan.

Gol berpunca daripada sepakan percuma Nizam Abu Bakar yang ditanduk tipis Rusdi untuk menewaskan penjaga gol, Kamaruzaman Hassan.

Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan seri 2-2 dalam perlawanan Kumpulan B di Stadium KLFA, Cheras.

Bagaimanapun, Kuala Lumpur ketinggalan 2-0 pada separuh masa pertama.

Pemain kebangsaan, K. Rajan mengejutkan Kuala Lumpur dengan gol pembukaan pada minit keempat sebelum Christian menggandakan jaringan Negeri Sembilan pada minit ke-36.

Tetapi dua gol jaringan Sunjose Sundawat dalam tempoh enam minit terakhir (84, 86) menyelamatkan pasukan tuan rumah untuk berkongsi satu mata dengan Negeri Sembilan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4infXNtIN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan