ARKIB : 01/09/2005
PENYERANG Telekom Melaka,
Carlos Jose Nadalich (kiri) cuba mengawal bola daripada asakan pemain Negeri
Sembilan, B. Rajinikandh dalam saingan Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di
Stadium Hang Tuah, malam tadi. Kedua-dua pasukan seri 0 - 0 sekaligus membolehkan
Telekom Melaka layak ke suku akhir mengiringi Pulau Pinang. - Gambar Gaie
Uchel.
KUALA LUMPUR - Telekom Melaka
menjadi satu-satunya pasukan bertaraf kelab berjaya layak ke suku akhir Piala
Malaysia musim ini selepas aksi peringkat kumpulan berakhir semalam.
Selain Perak dan Terengganu
yang sudah pun layak lebih awal, menyertai Telekom Melaka untuk baki enam
pasukan lagi ke suku akhir semalam ialah juara bertahan, Perlis di samping
Pahang, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Kecuali kejayaan bermakna
Telekom Melaka, tiada kejutan besar berlaku semalam apabila lima lagi pasukan
berstatus kelab tewas dalam perlawanan masing-masing.
Di Stadium Hang Tuah, walaupun
sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan, dengan Negeri Sembilan, ianya
sudah cukup buat Telekom Melaka untuk layak buat kali pertama ke suku akhir.
Negeri Sembilan yang perlu
menang untuk memintas Telekom bagaimanapun gagal berbuat demikian untuk
mengiringi Pulau Pinang daripada Kumpulan B.
Pulau Pinang walaupun tewas 2-1
kepada Kuala Lumpur di Stadium Cheras masih boleh menarik nafas lega.
Selepas ketinggalan menerusi
jaringan Mohd. Shahriful Hisham pada minit ke-65, Pulau Pinang menyamakan
kedudukan empat minit kemudian menerusi Dudu.
Gol kemenangan Kuala Lumpur
dijaringkan Carlos Quinoses pada minit ke-74.
Perlis pula menyertai
Terengganu layak ke suku akhir dari Kumpulan A selepas menewaskan Perbadanan
Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) 3-1 di Stadium Utama, Kangar.
Yusri Che Lah menjaringkan dua
gol pada minit ke-69 dan 89 manakala satu lagi gol disumbang Zacharia Simokunda
pada minit ke-45.
Tenggelam
PKNS yang jelas tenggelam dalam
asakan Perlis kemudiannya hanya memperoleh gol saguhati pada minit ke-85.
Terengganu pula muncul juara
kumpulan dengan menewaskan Sabah 2-0 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah,
Kuala Terengganu.
Gol-gol Terengganu dijaringkan
Helton Soares (m32) dan penalti Daniel Moreno (m-44) yang mengambil sendiri
sepakan selepas dia dijatuhkan dalam kotak penalti.
Saingan Kumpulan C pula
menyaksikan Pahang muncul juara kumpulan selepas menewaskan juara Piala
Malaysia 2003, Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) 3-1 di Stadium Petaling
Jaya.
MPPJ bagaimanapun lebih dulu
membuka jaringan menerusi Tsoumou Clotaire seawal minit ke-4 tetapi tiga gol
dalam masa lima minit menerusi Bernard Tchoutang (m39) dan Traore Bennet (m44,
69) melegakan Pahang.
Kedah pula mengiringi Pahang ke
suku akhir selepas menewaskan Johor FC 3-0 di Stadium Pasir Gudang, Johor
Bahru.
Gol pertama Kedah dijaringkan
sebaik perlawanan dimulakan menerusi Mendez Gabriel Alegendro sebelum Mohd.
Khyril Muhaymin (m6) dan Ahmad Fauzi Shaari (m66) menambah jaringan.
Selangor pula perlu berterima
kasih kepada Perak yang bangkit daripada ketinggalan sebelum menewaskan MK Land
2-1 di Stadium Perak, Ipoh.
Perak memperoleh dua gol dalam
tempoh empat minit menerusi Frank Seator (m64) dan Chan Wing Hoong (m68) untuk
menafikan gol awal MK Land yang dijaringkan Mario Miyo Tovic (m54).
Kemenangan Perak itu membolehkan
Selangor yang hanya seri tanpa jaringan dengan Public Bank di Stadium Shah Alam
layak ke suku akhir.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0901&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iw8hsQnj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan