Ahad, 4 Jun 2017

Buku bertemu ruas



ARKIB : 01/10/2005
KETUA pasukan Perlis, Mohd. Kaironnisam Shahabudin (kiri) dan kapten Selangor, Muhammad Shukor Adan bersama Piala Malaysia yang menjadi rebutan pasukan mereka pada perlawanan akhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam ini. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.

KUALA LUMPUR - Ikrar `akujanjipemain di hadapan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo semalam, menjadi suntikan semangat bagi memastikan Selangor dinobatkan selaku juara Piala Malaysia buat kali ke-30, malam ini.

Kesebelasan utama pemain yang menjadi pertaruhan berjanji berjuang habis-habisan untuk menunaikan hajat yang sudah lama dipendamkan oleh Mohamad Khir agar Piala Malaysia kembali semula di bumi Selangor.

Bukan sekadar sandiwara semata-mata sebaliknya, Stadium Nasional bakal menjadi saksi kebangkitan sebenar Selangor dengan reputasi menjulang piala berprestij itu sebanyak 29 kali (termasuk Piala Malaya).

Bermegah selaku pasukan paling banyak layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia sejak 1967 dengan 20 penampilan dan 17 kali dinobatkan selaku juara ia seharusnya menjadi tunjang kekuatan pemain Merah Kuning.

Jurulatih Dollah Salleh tampak begitu yakin barisan pemain yang akan diturunkan menggalas tanggungjawab besar dijangka tidak menghadapi masalah untuk merealitikan amanat tersebut.

``Mandat daripada Mohamad Khir amat penting dan ia menjadi pegangan pemain bagi memastikan Selangor mendakap gelaran Piala Malaysia malam esok (malam ini),'' ujar Dollah pada sidang akhbar di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Buat Dollah, semangat juang tinggi dan faktor disiplin kental menjadi intipati kekuatan sebenar Selangor untuk meleburkan impian Perlis daripada terus menggenggam piala berprestij tersebut.

Selangor berada pada landasan tepat mahu mencipta sejarah menjulang tiga gelaran dalam semusim iaitu sesudah dinobatkan juara Piala Liga Perdana di Stadium Paroi dan yang terbaru mendakap Piala FA minggu lalu di Stadium Shah Alam.

Malah, skuad yang digelar Red Giants itu mengidam untuk melengkapkan kejuaraan Piala Malaysia buat kali ke-30 dan kali terakhir menjulang gelaran itu pada 2002.

Mengulas lanjut, jurulatih itu berkata, beliau akan menurunkan kesebelasan utama yang sama ketika membenam Perak tetapi barisan kali ini adalah yang terbaik.

``Tiada pemain utama cedera dan lebih lega Muhammad Khalid Jamlus yang sebelum ini cedera telah pulih serta boleh diturunkan,'' ujarnya.

Penyandang juara, Perlis menyifatkan mereka merupakan lawan sebenar Selangor apabila kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.

Ibarat pepatah, `buku bertemu ruas' jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim berkata, pertemuan malam ini bakal menyaksikan Selangor berdepan lawan setanding, Perlis yang juga pasukan juara.

Katanya, jika Selangor berbangga dengan kejuaraan Liga Perdana dan terbaru Piala FA, Perlis juga tidak kurang hebat dengan kejuaraan Liga Super dan penyandang juara Piala Malaysia.

Lantaran itu, katanya, perlawanan akhir malam ini akan menjadi penentu siapa juara di antara juara di persada bola sepak tanah air.

``Pertemuan dua pasukan juara pada perlawanan akhir malam ini sememangnya dinanti-nantikan kerana kedua-duanya juara dalam kelas masing-masing.

``Saya percaya perlawanan akhir malam ini cukup menarik dan kami sudah bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan kejuaraan,'' katanya pada sidang akbar menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Abdul Rahman juga yakin mereka tidak perlu beraksi sehingga ke masa tambahan untuk memastikan Piala Malaysia terus kekal di Perlis.

``Ia tidak akan berlaku (masa tambahan). Tetapi kita bersedia untuk berdepan kemungkinan tersebut,'' ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, status pasukan `pelawat' tidak menjadi halangan buat Perlis untuk memberi tentangan sengit ke atas Selangor.

``Secara psikologi kelebihan memihak kepada Selangor kerana gelanggang perlawanan akhir di sini hakikatnya bukanlah padang berkecuali.

``Sudahlah begitu kami terpaksa menempuh perjalanan lebih 500 kilometer untuk ke sini.

``Akibatnya separuh daripada tumpuan pemain hilang semata-mata kerana urusan logistik,'' ujarnya.

Sementara itu, pengurus pasukan Adzemi Saad berkata, pasukan yang menyumbat gol awal diramal mampu memenangi perlawanan kelak.

``Secara keseluruhan, persediaan Perlis cukup mantap. Kesemua pemain yang beraksi malam ini merupakan pemain dari pasukan yang menundukkan Kedah pada final Piala Malaysia tahun lalu.

``Hanya Zachariah Simukonda merupakan muka baru Perlis yang turun pada perlawanan akhir malam ini,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j5qsHZr2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan