ARKIB : 31/07/2006
PRESTASI Majlis Perbandaran
Petaling Jaya (MPPJ) yang sering turun naik membuatkan jurulatih, Khan Hung
Meng pening kepala dalam usahanya mendapatkan strategi berkesan bagi
menghadapi perlawanan suku akhir bola sepak Piala Malaysia Sabtu ini.
Hung Meng menjelaskan bahawa
beliau akan menggunakan tempoh lima hari akan datang bagi memantapkan pasukan
berkenaan menjelang pertemuan pertama dengan Telekom Melaka, kelak.
Saya berharap para pemain
akan mengikuti strategi yang diatur bagi memudahkan MPPJ mendapat kelebihan gol
kelak, jelasnya di Ipoh.
Katanya, MPPJ terpaksa lebih
berhati-hati untuk menentang Telekom Melaka kerana pasukan berkenaan merupakan
sebuah pasukan yang mantap.
Walaupun MPPJ memiliki
sebahagian besar pemain kebangsaan tetapi masih gagal mempamerkan prestasi
terbaik sehingga pasukan berkenaan mudah tumbang kepada pasukan lawannya.
Selain itu, kegagalan penyerang
import, Ben Newton Katanha dan Juan Manuel Arostegui menjaringkan gol sejak
beberapa perlawanan lalu membuatkan Hung Meng bertambah gusar.
Saya tidak mengetahui punca
sebenarnya, mengapa Katanha dan Arostegui gagal menyumbatkan gol, tambah Hung
Meng.
Beliau amat mengharapkan
kedua-dua penyerang berkenaan supaya bangkit segera bagi membantu MPPJ
mendapatkan kemenangan Sabtu ini.
Selain itu, Hung Meng juga
risau apabila ketua pasukan, Md. Khaironnisam terpaksa diketepikan Sabtu ini
setelah menerima kad kuning kedua di Ipoh kelmarin.
Ketiadaan Khaironnisam akan
menjejaskan kemantapan MPPJ kerana ketua pasukan itu banyak memainkan peranannya
di bahagian tengah dan pertahanan, jelasnya.
Mengenai pertemuan dengan Perak
beliau berkata, pasukan dari Lembah Kelang itu memang datang ke Ipoh dengan
harapan membawa pulang satu mata sahaja.
Kami memang mengetahui bahawa
skuad Seladang bukan mudah untuk dijinakkan di gelanggang sendiri, tambah Hung
Meng yang gembira dengan keputusan seri 0-0 dalam perlawanan itu.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lO2SiQkE
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan