Ahad, 4 Jun 2017

Saingan semakin sengit



ARKIB : 14/09/2005

Oleh AMRAN MULUP
 KUALA LUMPUR - Piala Malaysia yang menjadi kejuaraan berprestij bola sepak tempatan sudah semakin sampai ke penghujung.

Pertembungan empat pasukan pilihan - Perlis bertemu Perak di Ipoh sementara Selangor menentang Terengganu di Stadium Shah Alam menjadi perhitungan malam ini.

Saingan separuh akhir pertama jelas akan menjadi titik tolak buat keempat-empat pasukan untuk menentukan hala tuju memburu tempat ke perlawanan akhir pada 1 Oktober ini.

Buruan gol sebanyak mungkin menjadi sasaran Perak dan Selangor yang mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri ketika Perlis dan Terengganu cuba merancang strategi menyekat jentera serangan lawan.

Sukar diramal peluang keempat-empat pasukan dengan aksi malam ini disifatkan paling getir, panas dan mencuri tumpuan dengan reputasi tersendiri.

Penyandang juara, Perlis dan bekas juara 2001, Terengganu dianggap paling selesa dengan tempoh rehat yang panjang selepas mengharungi saingan suku akhir.

Tetapi tidak dengan Selangor dan Perak tiga hari selepas memastikan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA, mereka turun untuk berdepan lawan di separuh akhir pertama Piala Malaysia pula.

Yang jelas, faktor keletihan kini membelenggu kedua-dua pasukan itu tetapi ini tidak boleh dianggap sebagai penghalang.

Reputasi Perlis kini berada pada tahap memuncak selepas mengetepikan Pahang dan kini giliran Perak pula menjadi penghalang.

Kehebatan Perlis dengan rangkaian jentera serangan diterajui oleh Philimon Chepita, Zachariah Simukonda, Joao Bandoch dan Yusri Che Lah bakal memberikan masalah kepada benteng Perak.

Namun keupayaan serangan skuad Seladang tidak dinafikan dengan rangkaian permata hitam membariskan Frank Seator, Keita Mandjou dan Abdoulaye Traore tidak kurang hebatnya.

Selain itu rekod bersih Perak bermain di gelanggang sendiri pada saingan Piala Malaysia peringkat kumpulan tidak tewas menjadi pemangkin untuk menyekat Perlis daripada mempunyai kelebihan jaringan gol.

Pertemuan Selangor-Terengganu turut disifatkan turut mencuri tumpuan.

Keupayaan Terengganu menyingkirkan Kedah di suku akhir selain memadamkan kelebihan dua jaringan membuktikan skuad Penyu mempunyai kelebihan tersendiri.

Walaupun tidak banyak diperkatakan mengenai Terengganu namun pasukan kerdil dari Pantai Timur itu mampu menyekat impian Selangor mara ke perlawanan akhir pada 1 Oktober ini.

Selangor pula masih segar dengan kemaraan ke perlawanan akhir Piala FA pada 24 September ini, lega dengan kehadiran semula ketua pasukan, Muhammad Shukor Adan dan penjaga gol, Jamsari Sabian.

Kehadiran kedua-dua pemain tersebut bakal memantapkan lagi kekuatan sebenar Selangor selain mengharapkan sentuhan jaringan Bambang Pamungkas dan Muhammad Khalid Jamlus akan berterusan memainkan peranan untuk membenam Terengganu.

Manakala Terengganu mengharapkan pengalaman empat pemain yang pernah beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia pada 2001 menjadi bekalan menyaingi Selangor.

Kelibat Sapian Wahid, Zulharisam Awang, penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustaffa dan Zuber Ibrahim sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat pemain lain.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0914&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j1YfKhMn
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan