Jumaat, 30 Jun 2017

Perak, Telekom menang selesa



ARKIB : 06/08/2006

KUALA LUMPUR - Dua gol menerusi Zachariah Simukonda membantu kemenangan Perlis menewaskan Terengganu 3-2 dalam perlawanan suku akhir pertama bola sepak Piala Malaysia di Stadium Utama, Kangar, malam tadi.

Tuan rumah memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-34 menerusi Mohd. Sairozi Daud dan sepakan penalti Simukonda pada minit ke-41 untuk mendahului lawan 2-0.

Bagaimanapun pada minit ke-49, Terengganu merapatkan jurang 1-2 menerusi jaringan Sharleilins Miranda pada minit ke-49.

Pelawat terus cemerlang untuk mengikat kedudukan 2-2 pada minit ke-74 hasil sepakan leret Rosairil Asrul Mat Nor.

Gol kemenangan Perlis dijaringkan oleh Simukonda pada masa kecederaan perlawanan hendak ditamatkan.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, kelebihan bermain di gelanggang sendiri tidak membawa tuah kepada NS Naza apabila sekadar terikat dengan keputusan seri 1-1 bertemu Sarawak.

Tugas berat kini menanti NS Naza berdepan dengan kekentalan Sarawak di tempat lawan pada saingan suku akhir kedua pada 12 Ogos ini.

Kecewa tuan rumah bermula pada minit ke-29 apabila sepakan penalti Christian Bekamenga ditampan keluar oleh penjaga gol Sarawak, Ishak Majali.

Bagaimanapun, Bekamenga menebus kesilapan itu apabila dia meledakkan jaringan pendahuluan pada minit ke-34.

Sarawak menyamakan kedudukan 1-1 menerusi sepakan percuma B. Rajanikandh.

Di Stadium Perak, tuan rumah Perak mendapat bekalan terbaik untuk melangkah kaki ke separuh akhir apabila mudah menewaskan Pulau Pinang E&O 3-0.

Kedatangan Pulau Pinang tidak menjejaskan reputasi Perak yang jelas menguasai penuh pentas saingan dan wajar membawa bekalan tiga gol bertandang ke tempat lawan minggu ini.

Gol pertama Perak dijaringkan oleh R. Surendren pada minit kedua manakala Abdoulaye Traore menambah gol kedua pada minit ke-60 manakala gol ketiga pula dijaringkan oleh Harizul Izuan Abdul Rani pada minit ke-82.

Di Stadium Hang Jebat, Telekom Melaka meneruskan aksi cemerlang apabila menewaskan MPPJ 3-0.

Gol-gol kemenangan Telekom Melaka dijaringkan oleh Chaswe Nsofwa (m-18), sepakan penalti Hardi Jaafar (32) dan Rudie Ramli (73).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0806&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4lTsOvPuK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan