Rabu, 28 Jun 2017

Tiga pasukan ke suku akhir



ARKIB : 23/07/2006
PENYERANG Pahang, Indra Putra Mahayuddin (kiri) dihalang oleh pemain pertahanan Sarawak, Robert Eshun dalam saingan bola sepak Piala Malaysia di Kuantan malam tadi, Sarawak menang 1-0. – Gambar GHAZALI BASRI.

KUALA LUMPUR - Tiga pasukan Perak, Sarawak dan Perlis mengesahkan tempat ke suku akhir bola sepak Piala Malaysia selepas menewaskan lawan masing-masing, malam tadi.

Perak menempah tempat daripada Kumpulan D selepas mengalahkan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat untuk mengutip 13 mata.

Sementara Sarawak dalam Kumpulan C pula menewaskan juara Piala FA, Pahang 1-0 di Stadium Darulmakmur untuk memungut 12 mata.

Lebih menarik Perlis pula layak tanpa mengeluarkan peluh ekoran kekalahan Pahang ketika skuad Singa Utara berdepan PKNS Selasa ini. Perlis kini dengan 10 mata tidak akan menggugat kemaraan mereka jika Pahang menang dalam perlawanan terakhir pada 29 Julai ini sekadar meraih tujuh mata.

Saingan dalam Kumpulan A pula menyaksikan penyandang juara, Selangor mengutip tiga mata berharga apabila menewaskan Terengganu 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Kemenangan Selangor menerusi jaringan dua bintang import dari Indonesia, Ellie Aiboy (m-12) dan Bambang Pamungkas (m-45) sekali gus menangguhkan hasrat Terengganu untuk layak ke suku akhir lebih awal.

Sebaliknya buat Selangor menghidupkan kembali peluang untuk ke suku akhir.

Gol sagu hati Terengganu dijaringkan oleh Mohd Norfarhan Mohamad pada minit ke-57.

Negeri Sembilan juga turut mencerahkan harapan untuk ke suku akhir apabila mudah menewaskan Sabah 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Dua gol menerusi Christian Bekamenga pada minit ke-40 dan 53 manakala satu gol lagi sumbangan Che Hishamuddin Che Hassan memahatkan kemenangan bergaya milik juara Liga Super itu di hadapan penyokong sendiri.

Kekalahan buat Sabah buat kali keempat memadamkan hasrat bersaing dalam kelompok lapan pasukan.

Dalam Kumpulan B, Pulau Pinang E&O turut menghidupkan peluang untuk ke suku akhir selepas menewaskan Johor FC 4-1 di Stadium Bandaraya.

Jaringan hatrik Ng Kok Heng pada minit ke-24, 32 dan 77 serta jaringan Sasa Brezenc pada minit ke-68 meranapkan terus impian Johor FC.

Pulau Pinang E&O kini meraih lapan mata ketika saingan terdekat Telekom Melaka tidak beraksi tetapi sebaliknya bertemu Kedah Selasa ini.

Dalam Kumpulan C, gol kemenangan Sarawak dijaringkan oleh Mohd. Safee Mohd. Sali pada minit ke-83.

Dalam Kumpulan D, dua jaringan Keita Mandjou dan G. Saravanan mengesahkan kemaraan bergaya Perak ke suku akhir selepas menewaskan Melaka 2-1 di Stadium Hang Jebat.

Kemenangan tersebut mengesahkan kemaraan Perak setelah mengutip 13 mata mencipta jaringan pada minit ke-59 dan 61.

Gol tunggal Melaka dijaringkan menerusi sepakan penalti K. Nanthakumar pada minit ke-43.

Kekalahan Melaka selaku naib juara Liga Perdana meleburkan impian mereka untuk bersaing ke suku akhir.

Sementara itu MPPJ gagal menggunakan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 bertemu Brunei DPMMM di Stadium Petaling Jaya.

Keputusan itu masih mencerahkan peluang MPPJ dan Brunei untuk mengiringi Perak jika menang dalam perlawanan terakhir pada 29 Julai ini.

MPPJ membuka jaringan menerusi bekas penyerang Selangor, Haris Safwan Kamal pada minit ke-65 tetapi pelawat menyamakan kedudukan hasil jaringan Saiful Nizam Awang pada minit ke-75.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4lLfXvz5O
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan