Isnin, 5 Jun 2017

Tuah angka tiga



ARKIB : 03/10/2005

Oleh AMRAN MULUP

KUALA LUMPUR - Tirai bola sepak Liga Malaysia musim 2005 dilabuhkan kelmarin dengan angka tiga membawa tuah buat Selangor.

Tiga jaringan hatrik Bambang Pamungkas melengkapkan tiga gelaran didakap dalam semusim sekali gus memastikan Selangor menjulang Piala Malaysia buat kali ke-30.

Pastinya angka tiga bakal terpahat dalam sejarah tersendiri buat Selangor untuk menutup tirai kancah saingan Liga Malaysia musim ini dengan pelbagai cerita duka dan gembira.

Selepas kejayaan paling gemilang di bumi sendiri, kini Selangor berpeluang untuk mencipta sejarah memecah kebuntuan tanpa gelaran mewakili Malaysia bersama Perlis mengharungi Piala AFC musim 2006.

Kejayaan menewaskan Perlis selaku penyandang juara membuktikan akan kehebatan sebenar Selangor selaku gergasi bola sepak di Malaysia yang sukar ditandingi.

Skuad bimbingan jurulatih, Dollah Salleh turut melakar sejarah tersendiri muncul satu-satunya pasukan paling gemilang merangkul tiga gelaran dalam semusim.

Sesudah bergelar juara Piala Liga Perdana ia diserikan lagi dengan mendakap Piala FA, Sabtu lalu dan dalam masa tujuh selepas itu dinobatkan pula selaku juara Piala Malaysia edisi ke-38 sejak 1967.

Pentas saingan Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin menampilkan kehebatan sebenar skuad bergelar Red Giant tiga gol menerusi Bambang pada minit ke-17, 51 dan 87 melenyapkan terus taring Perlis.

Bambang turut dianugerahkan Pemain Terbaik tetapi kelibat penjaga gol, Jamsari Sabian wajar diiktiraf selaku wira sebenar yang banyak menyelamatkan percubaan bahaya, Philimon Chipeta dan Zacharia Simukonda.

Tidak ada yang mahu menafikan kehebatan Selangor pasukan yang penuh dengan tradisi paling gemilang menjulang piala paling berprestij itu.

Walaupun beraksi tanpa rehat yang cukup mengharungi jadual perlawanan liga, Piala FA dan Piala Malaysia yang terlalu ketat, tetapi skuad Merah Kuning masih mampu meraih dua gelaran dalam tempoh tujuh hari.

Dua penyandang juara iaitu Perak dan Perlis yang rebah tidak bermaya terpaksa mengakui hakikat betapa Selangor wajar diiktiraf pasukan paling hebat dan ampuh musim ini.

Semangat kental dan faktor disiplin sewaktu menyerang serta bertahan secara berpasukan menjadi intipati kekuatan ampuh Merah Kuning sukar ditandingi pasukan lain.

Arkitek utama kejayaan Selangor adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan pengurus pasukan, Datuk Satim Diman yang mengilhamkan kebangkitan pasukan itu selepas kejaguhan mereka terpinggir sepanjang tiga musim lalu.

Pelaburan besar Selangor dengan peruntukkan RM5 juta untuk mendapatkan pemain berkualiti, melamar Bambang dan pemain lincah, Elie Aiboy selain mengekalkan pemain Argentina, Brian Fuentes jelas tidak merugikan.

Himpunan beberapa pemain lain dengan kehadiran penjaga gol, Jamsari Sabian, K. Sanbagamaran, Muhammad Khalid Jamlus, ketua pasukan Muhammad Shukor Adan selain kemunculan D. Surendran, Nazrulerwan Makmor, P. Gunalan membariskan pasukan paling mantap.

Kelebihan utama Selangor kerana memiliki ramai pemain yang boleh menjaringkan gol.

Tidak semata-mata bergantung kepada Bambang, Fuentes dan Muhamad Khalid, kelibat Aiboy, Mohd. Amri Yahyah, Shukor Adan, Sanbagamaran dan Surendran berupaya bertindak selaku penyerang.

Tidak seperti Perak rebah semata-mata bergantung kepada Keita Mandjou dan Abdoulaye Traore manakala Perlis pula mengharapkan Chipeta serta Simukonda selaku peledak menggegar jaring

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4j6vO0BD3
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan